Fahmi kecam tindakan Meta turunkan artikel pertemuan Anwar dengan Hamas
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengecam tindakan penyedia platform Facebook, Meta yang menurunkan artikel Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan pemimpin Hamas baru-baru ini.
Menurutnya, sekatan itu dilakukan terhadap berita yang disiarkan oleh Sinar Harian dan Malaysiakini.
"Jika diteliti, kedua-dua berita yang disiarkan tidak mempunyai apa-apa aspek seperti didakwa oleh Meta," katanya di sini pada Rabu.
Ujar beliau, tindakan syarikat induk Facebook yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu adalah tidak menghormati kebebasan media yang menggunakan platform mereka."Saya kesal dan kecam tindakan Meta," katanya.
Tambah Fahmi, sepucuk surat telah dihantar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi meminta penjelasan Meta berhubung perkara itu dan ia disusuli oleh surat daripada beliau sendiri.
"Pada Jun depan satu pertemuan dengan semua syarikat penyedia perkhidmatan media sosial saya akan bangkitkan isu ini supaya pelaporan berita Perdana Menteri tidak dikenakan perilaku seperti ini," katanya.
Pada Selasa, Anwar mengadakan pertemuan dengan delegasi Hamas yang diketuai oleh Ismail Haniyeh dalam sesi taklimat di Qatar.
Malaysia menghargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa.
Pada sesi itu juga, Anwar menerima taklimat mengenai situasi terkini di Gaza dan Rafah yang semakin membimbangkan.
Ditanya mengenai pertemuan Anwar dan Ismail akan memberi kesan kepada ekonomi negara, Fahmi berkata, Malaysia tidak mempunyai hubungan dengan sayap ketenteraan Hamas.
Sebaliknya, kata beliau, semua parti politik di negara ini mempunyai hubungan dengan sayap politik organisasi tersebut atas dasar perjuangan untuk menegakkan dan menubuhkan sebuah negara bernama Palestin.
"Jadi, bagi pihak kerajaan sudah pasti dengan pendirian yang jelas, kita ambil tindakan yang dirasa wajar dan tidak bertentangan dengan prinsip undang-undang serta prinsip dipegang iaitu dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka," katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai kedudukan Malaysia pada Indeks Kebebasan Media Dunia, Fahmi berkata, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) telah menjelaskan bahawa indeks berkenaan adalah berdasarkan maklum balas tinjauan.
"“RSF juga menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi melihat apa yang boleh dilakukan untuk kebebasan akhbar,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!