Dituduh tak sokong Palestin, Naim Daniel dedah ibu bapa terima ugutan bunuh
PENYANYI dan pelakon popular, Naim Daniel mendedahkan ibu bapanya menerima ugutan bunuh daripada seorang pengguna media sosial gara-gara disangka tidak memberi sokongan kepada rakyat Palestin.
Terkilan dengan perkara itu, Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir warga maya yang tidak menyelidik terlebih dulu sedangkan namanya tidak tersenarai dalam gerakan Blockout atau boikot.
“Jika ini adalah sebahagian daripada cara untuk #blockout2024 maka terangkan kepada saya, apakah dihalalkan untuk mengugut, menghina, memfitnah, mencaci maki tanpa usul periksa atas nama boikot?” katanya.
Menurut bintang berusia 26 tahun itu, dia sebelum ini hanya berpesan kepada netizen supaya jangan bersikap ghuluw (melampau) ketika meluahkan rasa tidak puas hati.
Malah Naim sama sekali tidak pernah menerima sebarang bentuk tajaan barangan mewah dari jenama yang menyokong rejim laknatullah.
"Alhamdulillah, saya dibesarkan dalam keluarga yang penyayang, menerapkan nilai-nilai Islam dan empati sesama manusia, hubungan sesama alam juga manusia.
"Saya dididik penuh hikmah dan sopan oleh kedua orang tua saya yang juga beragama Islam. Saya tidak pernah menidakkan kesengsaraan mahupun kezaliman saudara mara sedarah seagama di sana.
"Hanya kerana saya berpesan supaya jangan melampau dalam memboikot, sehingga perlu menghina perkara yang tidak ada kena mengena dengan perkara yang diboikotkan, saya berpesan supaya tidak bersifat Ghuluw atau melampau sehingga mampu mewujudkan cabang dosa dalam masa kita cuba melakukan sesuatu atas nama kebaikan;
"Saya dikatakan 'terpaling'. Malah siap ada mereka mereka yang menyalah erti dan menggunakan naratif yang berbeza bagi menentang saya," ujarnya menerusi Instagram miliknya.
Mengiringi hantaran itu, bintang Projek High Council itu memuat naik tangkap layar memaparkan komen beberapa pengguna akaun Instagram yang bersikap keterlaluan termasuk seorang yang mengancam untuk 'menyembelih' ibu bapanya.
“Kalau aku jumpa mak, pak hang, aku sembelih hidup, hidup,” tulis individu terbabit.
Laporan polis
Pada Instagram Stories, Naim turut berkongsi imej berada di sebuah balai polis dipercayai bagi membuat laporan berhubung perkara tersebut.
Ujar pelatun lagu Sumpah itu, dia tidak pernah menidakkan kesengsaraan mahupun kezaliman dialami penduduk Palestin yang sedang diganyang rejim Zionis Israel.
“Saya dilahirkan dengan kalimah lailaha illallah di telinga dan semoga mati dengan kalimah agung ini hendaknya.
“Jadi, terangkan kepada saya, apakah ini semua? Komen begini yang ada dalam ribuan komentar yang saya dapat dalam tempoh dua hari ini adalah halal atas dasar boikot?” katanya.
Kempen Blockout2024 yang bermula selepas Met Gala di New York berakhir 6 Mei lalu menyasarkan selebriti global yang dilihat berdiam diri dalam isu Palestin serta menjalinkan kerjasama dengan jenama menyokong Zionis.
Sejak kempen itu digerakkan, pengguna media sosial menyah ikut malah menyekat beberapa nama selebriti yang tersenarai sebagai salah satu tindakan memboikot.
Kempen yang menular di Malaysia itu turut mengakibatkan beberapa nama selebriti tempatan terpalit dengan isu terbabit antaranya Nadhir Nasar, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan Daiyan Trisha.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!