Nizam Laksamana dedikasi showcase terakhir buat tiga insan istimewa

Nizam bersama sebahagian penyanyi yang akan membuat persembahan pada Showcase Amal Artis Legenda 4.0.
Nizam bersama sebahagian penyanyi yang akan membuat persembahan pada Showcase Amal Artis Legenda 4.0.
A
A
A

SHOWCASE Amal Artis Legenda 4.0 akan menjadi persembahan yang cukup emosi buat penyanyi popular 1990-an, Nizam Laksamana.

Ujar Nizam atau nama penuhnya Mohd Nizam Pechok, 57, ketiadaan tiga rakan baiknya iaitu Allahyarham Gmiee Screen, Ibnor Riza dan Tia Jinbara secara tidak langsung memberi aura berbeza pada showcase terakhir anjurannya itu.

"Insya-ALLAH pada malam showcase itu nanti, akan ada segmen khas buat ketiga-tiga rakan baik saya ini dan saya sendiri akan nyanyikan lagu-lagu popular mereka secara medley.

"Secara tidak langsung, saya mahu mengimbau persahabatan bersama mereka dan penglibatan mereka pada tiga showcase sebelum ini.

"Saya juga akan menjemput ahli keluarga mereka untuk hadir. Walaupun mereka sudah tiada, tetapi silaturahim itu tidak akan berakhir," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah penyanyi hits menerusi lagu Gugurnya Bunga Cinta itu, dia akan tetap dengan pendirian menjadikan Showcase Amal Artis Legenda 4.0 yang terakhir dianjurkan olehnya.

Namun terbuka untuk menyerahkan pada mana-mana pihak yang mahu meneruskan pada masa akan datang.

"Kalau ikutkan memang ramai kawan-kawan yang memberi kata-kata semangat untuk saya teruskan kerana showcase ini sudah masuk siri keempat.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi saya sudah lalui kesukaran sejak showcase pertama lagi. Sukar untuk dapatkan penaja dan perhatian pihak atasan, mungkin kerana saya tidak ada nama besar.

"Jadi biarlah ini jadi yang terakhir untuk saya anjurkan. Cuma kalau ada yang berminat untuk teruskan pada masa akan datang, saya dengan berbesar hati serahkan pada mereka," jelasnya.

Biarpun ia akan menjadi siri showcase terakhir, Nizam berkata, dia bersama pasukannya akan tetap memberikan yang terbaik.

Bukan sahaja menampilkan seleksi penyanyi popular 1990-an seperti Zamani Slam, Zarul Umbrella, Acong Sweetchild, Tam Spider, Shafie Rio, Ameng Spring, Dwen, Ady Wow, Mawi dan Wann, showcase itu nanti akan mempunyai sebuah cerita yang tersendiri.

"Showcase ini nanti ada pengisian yang sudah kita susun, selain lagu yang mempunyai jalan cerita atau kisah, akan ada juga video menarik untuk tatapan peminat yang hadir.

"Walaupun showcase ini berskala kecil, ia tetap penuh dengan pengertian. Kami mahu meninggalkan mereka yang hadir dengan memori indah," ujarnya.

Dalam masa sama, Nizam berharap baki tujuh meja yang masih kosong dapat dijual sebelum showcase berkenaan pada 1 Jun depan.

"Walaupun masih ada baki tujuh meja, saya yakin ia akan terjual sebelum showcase nanti, Insya-ALLAH," katanya.

Showcase Amal Artis Legenda 4.0 yang akan diadakan pada 1 Jun 2024 di Hotel Grand Barakah. Hasil kutipan menerusi showcase ini akan diagihkan kepada Cancer Survivor Malaysia, 20 penggiat seni termasuk pengamal media yang memerlukan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!