Penduduk resah kehadiran lima ekor buaya di Sungai Malim
MELAKA - Lebih 2,500 penduduk yang mendiami sepanjang Sungai Malim di sini, termasuk Pulau Gadong melahirkan kebimbangan dengan kehadiran lima ekor buaya di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.
Terbaharu dalam kejadian pada petang Selasa, seekor buaya dipercayai membaham kambing betina milik penduduk ketika haiwan itu sedang meragut rumput di tepi sungai berkenaan.
Penternak kambing, Muhammad Nur Iman Ahmad, 24, berkata, kejadian itu sekali gus menggusarkan hati penduduk kerana bukan sahaja mengalami kerugian malah mengancam nyawa mereka.
Dia mendakwa, insiden seperti itu sudah beberapa kali berlaku sehinggakan tiga ekor kambing miliknya dibaham buaya dalam tempoh tiga bulan lalu.
"Buaya berkenaan dilihat lebih agresif berbanding sebelum ini dan saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan kambing, sehingga sekarang kerugian RM5,000.
"Disebabkan kejadian itu kami penduduk berasa takut lebih-lebih lagi kanak-kanak yang bermain di kawasan itu," katanya ketika ditemui pemberita di Pulau Gadong di sini pada Rabu.
Penduduk, Nozlan Ibrahim, 53, yang bekerja sendiri turut melahirkan keresahan dan berharap isu itu dapat ditangani pihak berkuasa termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Menurutnya, meskipun pihak berkenaan telah meletakkan papan tanda amaran, namun sepanjang sungai itu sering menjadi lokasi kaki pancing.
"Bila saya dengar berlaku lagi kejadian kambing dibaham buaya, bagi saya sudah melampau.
"Harap pihak berkenaan dapat memasang perangkap dan sebagainya untuk mengelak ada penduduk yang menjadi korban buaya tembaga liar itu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Hamzah Ibrahim, 56, mendakwa berdasarkan aduan yang diterima dianggarkan terdapat kira-kira lima ekor buaya tembaga berkeliaran di sepanjang sungai berkenaan.
Menurutnya, penduduk risau dan takut sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini terutama melibatkan nyawa mereka.
"Yang duduk di sepanjang benteng ini dianggarkan kira-kira 3,000 penduduk dan kalau tidak ada tindakan pihak berkenaan kita bimbang perkara buruk boleh berlaku melibatkan keselamatan penduduk," katanya.
Terdahulu, tular video klip berdurasi sembilan saat di aplikasi TikTok memaparkan seekor buaya dalam sungai tersebut sedang membaham seekor kambing.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!