Tiga penguat kuasa direman, disyaki terima rasuah lindungi rumah urut
SUNGAI PETANI - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman tiga anggota penguat kuasa dari dua agensi kerajaan yang berbeza selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM36,000 bagi melindungi kegiatan rumah urut di negeri ini.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Khairatul Animah Jelani kepada semua suspek lelaki berusia sekitar 30-an hingga 40-an itu selama tiga hari bermula Rabu sehingga 18 Mei ini di Mahkamah Majistret Sungai Petani di sini.
Menurut sumber, semua suspek telah ditahan pada Selasa antara jam 8 hingga 12 tengah malam ketika hadir untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM cawangan Sungai Petani.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Januari tahun lalu dan menerima bayaran secara bulanan yang mencecah sehingga kira-kira RM6,000 bagi melindungi pekerja rumah urut yang tidak mempunyai permit kerja yang sah.
“Siasatan dipergiatkan dan tidak menolak kemungkinan terdapat dalang lain yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!