Syarikat pasir didakwa buang sampah binaan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LANGAT - Sebuah syarikat perlombongan dan pengeluaran pasir didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok pada Rabu, atas pertuduhan membuang sisa kotoran dengan menambak dan melonggokan sampah secara haram.

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan, atas tanah milik syarikat itu sendiri tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Berdasarkan pertuduhan, syarikat tersebut selaku Orang Kena Saman (OKS) telah membuang sampah binaan secara pukal tanpa sebarang kelulusan Majlis Perbandaran Kuala Langat di atas tanah persendirian di Mukim Tanjung Dua Belas, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 4, UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 2007.

Bagaimanapun, Majistret, Maslinda Selamat membenarkan permohonan syarikat yang tidak diwakili peguam itu, untuk membatalkan saman, selepas menjelaskan kompaun RM1,000 termasuk tunggakan MPKL yang lain.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abdul Rahim.

Sementara itu, menerusi kenyataan media, MPKL menasihati semua syarikat supaya tidak membuang pelbagai jenis sampah sama ada domestik, pukal, industri atau kebun di tempat awam, kecuali di lokasi yang telah diluluskan.

Katanya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap syarikat yang melakukan kesalahan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!