Guru besar terpaksa ʻcangkul’ tanah sebelum sampai ke sekolah

Fred
Fred
A
A
A

TENOM - Berdepan dengan masalah infrastruktur seperti tiada akses jalan raya yang sempurna dan juga tiada bekalan elektrik tidak pernah mematahkan semangat untuk terus berkhidmat sebagai seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kapulu di sini.

Fred Gugau Ridwon yang berkhidmat sebagai guru di pedalaman selama 35 tahun baru saja menamatkan perkhidmatannya yang terakhir di sekolah tersebut dan membawa pelbagai kenangan manis serta pahit yang dilaluinya.

Menurut Fred, dia berkhidmat di SK Kapulu selama 13 tahun dan sebelum itu berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemabong di sini, dengan menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

“Saya ditawarkan ke SK Kapulu dengan jawatan sebagai guru besar susulan ada pertukaran jawatan di sekolah tersebut.

“Disebabkan saya mengenali penduduk di kampung itu dengan baik, saya terima tawaran dan tahun 2011 saya mula bertugas di SK Kapulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya cabaran beliau mengajar di sekolah tersebut, Fred memaklumkan bahawa SK Kapulu terletak lebih 50 kilometer dari pekan Tenom namun keadaannya jauh berbeza dengan di kawasan pekan atau bandar.

“Jalan menuju ke Kampung Kapulu ketika itu masih dalam keadaan teruk, tidak nampak seperti jalan raya dan hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda.

“Perjalanan saya biasanya dari pagi hanya akan tiba di kampung itu pada sebelah malam kerana kerap berhenti akibat tayar terbenam di dalam lumpur.

Artikel Berkaitan:

“Di tengah jalan ada parit dengan kedalaman paras lutut, sepanjang perjalanan juga tayar akan tersangkut dan saya terpaksa ‘mencangkul’ tanah untuk keluarkan tayar yang terbenam dalam lumpur,” katanya.

Tambah beliau, bekalan elektrik di kampung itu juga tidak ada dan di sekolah hanya dibekalkan tenaga solar.

“Disebabkan ketika itu rumah guru belum disediakan, saya menyewa rumah penduduk dengan kadar RM200 dan terpaksa bergantung dengan lampu suluh kerana tenaga solar yang ada di sekolah tidak dapat sampai ke rumah sewa.

“Namun rumah sewa itu hanya didiami kira-kira tiga tahun apabila rumah guru yang dibina akhirnya siap pada tahun 2015,” katanya.

Fred berkata, dia tidak menyangka dapat bertahan dengan persekitaran tersebut selain dapat mengubah pemikiran ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan sebelum menamatkan perkhidmatannya pada awal Mei lalu.

“Kini saya bersara dengan rasa senang hati kerana meninggalkan sekolah ketika ibu bapa dan penduduk kampung sedar bahawa pendidikan amat penting untuk anak-anak mereka,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!