Penyokong Arsenal tersilap 'serang' hotel penginapan City
PENYOKONG Arsenal malu besar apabila tersilap 'menyerang' hotel penginapan yang dikatakan menempatkan pemain Manchester City.
Difahamkan, penyokong Arsenal cuba melancarkan serangan psikologi ke atas pemain City yang berkunjung ke utara London untuk aksi menentang Tottenham Hotspur.
Menurut pertahanan City, Kyle walker, beberapa penyokong Arsenal menyalakan mercun di hadapan Hotel Delta, Waltham Abbey dengan harapan pemain The Citizens tidak cukup tidur untuk pertemuan menentang Spurs.
“Penyokong Arsenal membakar mercun tapi kami tiada di lokasi. Mereka gagal mengganggu kami,” ujarnya.
Laporan beberapa portal di United Kingdom (UK), kumpulan yang dikenali sebagai The Ashburton Army melepaskan bunga api di kawasan sekitar Hotel Marriot di Waltham Abbey, London sekitar jam 2 pagi.
Sementara itu, rata-rata komen di media sosial memperlekeh tindakan penyokong Arsenal berkenaan dan menganggap ia sebagai perbuatan yang sia-sia.
Arsenal kini berharap City seri atau tewas pada aksi terakhir mereka menentang West Ham dan mereka pula menang ke atas Everton di Emirates Ahad ini untuk muncul juara EPL buat kali pertama sejak 2003.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!