Diancam binatang buas
SEGAMAT - Capaian internet yang terlalu lemah dan tiada perkhidmatan rangkaian telefon menjadi cabaran utama guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kudung, Bekok dekat sini pada setiap hari.
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Kampung Kudung, Mohd Tarmizi A Razak, 40, berkata, ini kerana sekolah Orang Asli itu berada di kawasan lembah dikelilingi bukit di dalam Hutan Simpan Labis serta berdekatan Taman Negara Johor Endau-Rompin Pintu Selai.
Beliau yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani berkata, keadaan tersebut menyukarkan murid-murid apabila memerlukan akses internet untuk mengulang kaji pelajaran.
“Murid-murid akan memuat naik bahan untuk pelajaran di pekan Bekok, di tempat lain atau di rumah mereka kerana capaian internet lebih baik berbeza di sekolah. Biasanya mereka muat turun bahan beberapa hari sebelum dibawa ke sekolah.
“Akses internet dan talian telefon adalah satu cabaran yang amat besar kerana sukar mendapat perkhidmatan di SK Kampung Kudung.
"Bermula jam 7 pagi saya tiba di sekolah setiap hari hingga jam 2 petang keluar dari sekolah seumpama ‘tempoh bertenang’ tanpa gangguan deringan telefon,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mohd Tarmizi berkata, cabaran lain adalah bekalan air sering terganggu di SK tersebut apabila saliran paip tersumbat setiap kali hujan lebat.
“Bekalan air di SK Kampung Kudung menggunakan sumber air bukit yang dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung untuk kegunaan anak-anak mereka dan warga sekolah,” katanya.
Selain itu, bagi guru-guru yang tinggal di luar Kampung Kudung sepertinya, beliau berkata, mereka bersyukur kerana mempunyai kemudahan jalan yang baik untuk ke sekolah tetapi tetap mempunyai cabaran tersendiri.
Jelasnya, ini berikutan laluan untuk ke SK Kampung Kudung sedikit sukar kerana melalui turun naik bukit serta ancaman binatang liar pada setiap kali perjalanan pergi dan pulang dari sekolah.
Beliau yang tinggal di Chaah yang berulang alik setiap hari sejauh 25 kilometer ke SK Kampung Kudung berkata, biasanya dia keluar rumah pada jam 6.30 pagi bagi memastikan tiba sebelum jam 7 pagi.
“Saya sudah berkhidmat di SK Kampung Kudung sejak lapan tahun lalu. Ini sekolah ketiga saya mengajar, sebelum ini mengajar di dua sekolah bandar.
"Semasa mula ditukarkan di SK ini merupakan cabaran kerana saya tidak meminati suasana alam sekitar,” katanya.
Menerima pertukaran ke SK tersebut pada 2016 dianggap Mohd Tarmizi sebagai satu keputusan sukar disebabkan jangkaan kesulitan yang bakal dialami, namun selepas itu nekad untuk menabur bakti kepada 137 murid Orang Asli di situ.
Beliau mengakui puas dapat mengajar anak-anak Orang Asli di sekolah itu yang datang dari lima kampung berhampiran iaitu Kampung Kudong, Kampung Sri Tembayan, Kampung Kemidak, Kampung Tamok dan Kampung Selai.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!