Perokok tegar masih berdegil
WALAUPUN larangan merokok di restoran dan kedai makan telah berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, namun masih ramai lagi yang berdegil dan terus merokok tanpa rasa bersalah.
Mereka itu sebenar sedar tentang larangan berkenaan tetapi sengaja melawan larangan berkenaan walaupun telah ditegur oleh pekerja restoran.
Semuanya berpunca daripada sikap. Malah, perokok tegar itu memperli larangan yang dianggap remeh dan menyusahkan perokok. Sesetengahnya mengatakan tiada pun larangan dan iklan di media massa bagi tahun 2020.
Mereka mendakwa pada tahun ini tiada larangan di televisyen, radio atau akhbar.
Mungkin ada benarnya kerana buat masa ini pun larangan di media massa tidak banyak kerana iklan dan arahan hanya berlaku pada tahun 2018 dan 2019. Namun ia ditangguhkan sehingga berkuat kuasa tahun 2020.
Hakikatnya, masih ramai perokok tegar terus merokok di meja makan.
Walaupun nampaknya perokok yang merokok di luar premis restoran mengikut jarak yang ditentukan tetapi masih ada lagi yang vaping dalam restoran.
Penulis sendiri memerhatikan gelagat perokok tegar yang sengaja merokok walaupun ditegur oleh pekerja restoran.
Apa yang berlaku, sesetengah perokok mengugut pekerja restoran yang rata-rata bukan warga negara.
Ia realiti yang berlaku. Jelas, masih ramai yang ingkar dan bantah larangan itu.
Ia berlaku walaupun larangan merokok menegaskan sekiranya didapati bersalah, pesalah akan didenda RM10,000 atau penjara tiga tahun. Denda terhadap pelanggan dan pemilik premis.
Disekat
Kementerian Kesihatan Malaysia juga memperkenalkan talian perkhidmatan aduan berhubung larangan merokok di premis makanan. Namun disekat oleh aplikasi WhatsApp.
Sekatan itu berlaku selepas terdapat aduan daripada orang ramai yang mendakwa talian perkhidmatan tersebut melanggar terma dan syarat WhatsApp.
Kementerian Kesihatan pula mempertahankan terma dan syarat WhatsApp berhubung pencerobohan ruang peribadi.
Antara polisi peribadi WhatsApp yang dinyatakan ialah: “Anda tidak boleh menggunakan (atau membantu pihak lain menggunakan) perkhidmatan kami untuk: (a) melanggar, menyalahgunakan atau menceroboh hak WhatsApp, pengguna kami atau pihak lain termasuk peribadi, umum, harta intelek atau hak lain.
”Tindakan menggunakan WhatsApp sebenarnya dibuka untuk membantu orang awam membuat laporan pelanggaran larangan merokok di premis makanan dengan menghantar gambar dan lokasi kesalahan dilakukan.
Talian itu juga bertujuan memudahkan orang awam menerima maklumat, bertanya soalan atau mendapatkan nasihat tentang larangan merokok.
Sebenarnya larangan merokok di tempat awam dan terbuka telah digazet dengan papan tanda dan pengumuman.
Langkah itu merupakan inisiatif kementerian memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.
Larangan itu sepatutnya bukan sahaja sekadar kempen tetapi pelaksanaan dan penguatkuasaan secara tegas tanpa toleransi.
Mungkin kita boleh guna pendekatan seperti negara Jerman menangani isu merokok di premis-premis.
Larangan merokok di tempat awam, bar dan restoran di Jerman berkuat kuasa mengikut undang-undang negeri.
Pihak restoran yang ingin menyediakan tempat merokok perlu mendirikan bilik khas bertutup dan tiada asap yang akan keluar dari bilik berkenaan.
Larangan merokok melibatkan bangunan awam.
Jumlah penalti yang dikenakan tinggi dan menakutkan perokok.
Kanak-kanak bawah umur yang ingin membeli rokok perlu menunjukkan lesen memandu sebagai syarat jual beli rokok di restoran.
Negeri Rhine-Westphalia Utara dan Thuringia adalah yang terakhir mengenakan larangan itu. Bavaria merupakan negeri yang paling ketat larangan merokoknya.
Anda tidak boleh merokok di rumah, di bar atau restoran di sana!
Sejauh manakah kita mampu mengenakan larangan seperti itu di Malaysia kelak?
* Prof Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!