Kaji semula idea beli sawit dapat orang utan
SEORANG menteri baru-baru ini cadangkan Malaysia perkenal ‘diplomasi orang utan’ kepada negara-negara pembeli sawit. Sasarannya ialah Kesatuan Eropah, India dan China.
Kata menteri tadi, orang utan boleh dijadikan hadiah kepada rakan dagang selain mengukuhkan hubungan luar.
Merak Jalanan lihat langkah ini sebenarnya ingin meniru China dan Australia yang menjadikan haiwan unik mereka iaitu panda dan beruang koala sebagai duta diplomasi.
Namun, Merak Jalanan berpendapat orang utan tak patut jadi barang dagangan. Bagi Barat, orang utan adalah simbol kezaliman.
Kononnya pembukaan ladang kelapa sawit khususnya di Borneo adalah dosa besar terhadap habitat makhluk mirip manusia tersebut.
Menurut WWF Malaysia, populasi orang utan di Borneo adalah 104,000 ekor dengan sekitar 13,000 ekor tinggal di hutan Sabah dan Sarawak.
Jumlah tersebut adalah besar berbanding 2,400 ekor panda dimiliki China. Pun begitu, China tetap meminjamkan panda mereka kepada beberapa negara lain seperti Britain, Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman.
Di Malaysia, dua panda bernama Xing Xing dan Liang Liang sudah berada di sini sejak 2014. Ia sepatutnya dipulangkan kepada China pada 20 Mei ini, namun Malaysia bercadang untuk melanjutkan program tersebut.
Diplomasi panda China lebih sebagai tanda persahabatan. Tetapi cadangan menteri tadi kedengaran bersifat transaksi. Ia sama seperti ungkapan, kamu beli sawit dan dapat orang utan.
Merak Jalanan percaya niat menteri itu baik. Dia mahu jualan sawit melonjak sekali gus melawan kempen No Palm Oil pihak Barat. Sungguhpun begitu, biarlah orang utan kekal di sini.
Merak Jalanan anggap orang utan lebih istimewa daripada panda dan koala kerana DNAnya hampir 97 peratus DNA manusia.
Jadi jangan terkejut kalau Zoo Atlanta di AS menyediakan komputer skrin sentuh yang digunakan oleh dua ekor orang utan Sumatera di situ untuk bermain.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!