Anak tidak sah taraf bergelut krisis identiti

Norezzati (kiri) dan Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Norezzati (kiri) dan Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Anak tidak sah taraf mengalami pelbagai impak emosi dan psikologi terutama selepas mengetahui tentang status diri mereka.

Pegawai Psikologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Norezzati Md Hanafiah berkata, kesan itu bergantung kepada pengalaman individu, dinamik keluarga dan sistem sokongan di sekeliling mereka.

Menurutnya, anak tidak sah taraf mungkin bergelut dengan krisis identiti dan mereka berisiko mengalami kesukaran memahami perasaan sendiri di samping mengadaptasinya dengan norma dan tanggapan masyarakat.

“Ada ketika, mereka dibelenggu dengan perasaan malu atau keliru tentang latar belakang keluarga. Selain itu, stigma yang dikaitkan dengan tidak sah taraf memberi kesan kepada rasa yakin dan harga diri. Mereka turut berasakan diri tidak diterima atau dihakimi akibat dibelenggu dengan tanggapan masyarakat.

“Situasi sebegini secara tidak langsung menyebabkan anak tersebut berasa tidak layak berada dalam masyarakat atau kurang rasa dihargai berbanding rakan-rakan lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini pelakon dan pengacara, Myra Natasya mendedahkan bahawa dia sebenarnya merupakan anak luar nikah kepada personaliti radio popular, Halim Othman.

Mengulas lanjut, Norezzati berkata, ramai anak tidak sah taraf lebih memilih untuk merahsiakan kebenaran daripada diketahui umum.

“Kesan daripada itu, anak tersebut akan berlawan dengan diri sendiri sekali gus mengalami tekanan, kebimbangan atau kemurungan. Lebih memburukkan lagi apabila mereka berasa malu atau rendah diri seterusnya menjadi penghalang integrasi sosial.

Artikel Berkaitan:

“Dalam bidang pendidikan dan kerjaya pula, mereka mungkin menghadapi halangan disebabkan tanggapan serong tersebut. Kesan jangka panjang, mereka bergelut untuk mengakses sumber atau peluang yang tersedia,” katanya.

Jelas beliau, walaupun anak tidak sah taraf diasak dengan cabaran yang mendatang, jika dilihat daripada satu sudut berbeza, perkara itu memberikan ruang kepada mereka untuk membina daya tahan yang lebih bagus bagi menghadapi alam dewasa.

Ujarnya, dengan sokongan dan sumber yang betul, mereka boleh mengatasi kesukaran dan berkembang maju walaupun dibelenggu oleh stigma serta tanggapan serong masyarakat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!