Tukar corak permainan bantu kemaraan

Jun Hao
Jun Hao
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao menyifatkan tindakan menukar corak permainan merupakan pencetus kejayaannya melepasi ujian pemain Taiwan, Su Li Yang dalam aksi pusingan pertama badminton Terbuka Thailand di Stadium Nimibutr, Bangkok pada Rabu.

"Saya gembira apabila berjaya bangkit untuk menang daripada kekalahan set pertama.

"Ternyata apabila saya tukar tukar corak permainan, ia mula beri kesan seterusnya bina keyakinan diri.

"Untuk berdepan pemain Thailand Kunlavut Vitidsarn, saya akan berikan yang terbaik," katanya.

Pemain nombor 37 dunia tersebut sebelum itu mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Kejuaraan Siri Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 500, selepas menyingkirkan lawan yang berstatus 30 ranking dunia.

Bagaimanapun, Jun Hao pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 24 tahun itu terlebih dulu ketinggalan apabila tewas 14-21 pada set pertama kepada lawannya 22 tahun berkenaan.

Set kedua, Jun Hao mula mempamerkan ketenangan apabila menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-15 sebelum menoktahkan cabaran Li Yang, dengan 21-17 dalam masa 66 minit

Kunlavut pilihan keempat kejohanan lawan Jun Hao pula mara selepas menewaskan pemain Denmark, Ramsus Gemke, 21-18, 21-12.

Artikel Berkaitan:

Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia yang juga juara edisi 2022 turut mara selepas mengatasi wakil China, Lei Lan Xi 21-17, 23-21 dalam aksi 50 minit

Bekas juara Seluruh England itu akan berdepan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin yang menyingkirkan cabaran pemain Denmark, Magnus Johannesen, 21-9, 21-16.

Sebelum itu, beregu lelaki negara, Junaidi Arif-Yap Roy King turut mara selepas bangkit daripada kekalahan set pertama sekali gus menghantar pulang beregu 21 dunia Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 16-21, 21-13, 21-16 untuk berdepan wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard yang menyingkirkan cabaran beregu negara, Beh Chun Meng-Goh Boon Zha, 22-20, 21-12.

Turut mara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal yang menewaskan wakil, Scotland Christopher Grimley-Matthew Grimley, 21-16, 21-11 dalam masa 32 minit bagi berdepan wakil tuan rumah Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-Nga yang mengatasi satu lagi beregu negara, Chia Weije-Liew Xun, 21-19, 21-12.

Beregu campuran negara turut mara, menerusi gandingan Roy King-Valeree Siow yang menewaskan wakil Hong Kong, Lui Chun Wai-Fu Chi Yan 21-19, 21-17 bagi berdepan bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Cheong Hon Jian-Go Pei Kee juga cemerlang apabila mengalahkan wakil tuan rumah, Neuaduang Mangkornloi-Atitaya Povanon 21-10, 21-15 akan bertarung dengan beregu Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dari Indonesia.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita, K Letshanaa tewas kepada pemain Thailand, Supanida Katethong 12-21, 10-21.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!