[VIDEO] UiTM kekal dasar pengambilan pelajar sedia ada, fokus perkasa bumiputera

A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus mengekalkan dasar pengambilan pelajar sedia ada bagi memfokuskan agenda pemerkasaan bumiputera dengan lebih baik.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, tiada sebarang perbincangan atau cadangan mengenai perubahan dasar oleh mana-mana mesyuarat.

Beliau yang juga Pengerusi Senat UiTM turut menegaskan, pihak universiti akan terus berpegang teguh dengan prinsip penubuhannya seperti yang tertulis dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin tegaskan bahawa pengambilan pelajar sedia ada akan terus dikekalkan dan tiada sebarang perbincangan atau cadangan mengenai perubahan dasar ini dalam mana-mana mesyuarat Senat UiTM mahupun Mesyuarat Eksekutif Universiti.

“Pendirian ini adalah sejajar dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang turut menekankan objektif asal penubuhan UiTM.

“Pihak universiti akan terus berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 yang menyatakan UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Kami akan terus menjalankan misi dan visi institusi ini untuk memperkasakan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar sebagai berkata, UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

UiTM terus mengekalkan dasar pengambilan pelajar sedia ada bagi memfokuskan agenda pemerkasaan bumiputera dengan lebih baik. Gambar hiasan (Gambar kecil: Shahrin Sahib)
UiTM terus mengekalkan dasar pengambilan pelajar sedia ada bagi memfokuskan agenda pemerkasaan bumiputera dengan lebih baik. Gambar hiasan (Gambar kecil: Shahrin Sahib)

Susulan itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mengadakan kempen supaya mahasiswa memakai pakaian hitam pada Khamis sebagai membantah rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.

Mengulas lanjut, menurut Shahrin, semua mahasiswa perlu memberi fokus terhadap pelajaran bagi mempersiapkan diri menghadapi cabaran yang lebih besar di masa hadapan.

Ujarnya, UiTM akan terus menjadi institusi pendidikan tinggi yang memartabatkan bumiputera melalui peluang pendidikan berkualiti.

"Inilah perjuangan hakiki seorang mahasiswa untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat, serta membuktikan cinta kepada agama, bangsa, dan tanah air," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!