Peranan besar guru dalam dunia pendidikan semakin mencabar

Para guru juga perlu berhadapan dengan pelbagai suasana serta ragam anak murid selain memastikan arus pendidikan seiring dengan perubahan pembangunan negara. Gambar hiasan.
Para guru juga perlu berhadapan dengan pelbagai suasana serta ragam anak murid selain memastikan arus pendidikan seiring dengan perubahan pembangunan negara. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Kami guru Malaysia, berikrar dan berjanji, mendidik dan memimpin, putra putri negara kita". Ini antara bait lagu yang lazimnya berkumandang di seluruh negara setiap kali tibanya tarikh keramat 16 Mei bagi menghargai mereka yang bergelar pendidik.

Lagu dan lirik ‘Kami Guru Malaysia’ ciptaan bekas guru kelahiran Pulau Pinang Allahyarham Hashim Ahmad dihasilkan pada tahun 1988 itu masih mekar sehingga ke hari ini, sebagai tanda betapa besar dan tingginya nilai pengorbanan mereka yang mendidik anak bangsa, untuk menjadi modal insan negara.

Perjuangan golongan ini juga bukan kaleng-kaleng atau bukan sembarangan, apatah lagi dengan zaman yang semakin moden, yang menyaksikan para guru juga perlu berhadapan dengan pelbagai suasana serta ragaman anak murid mereka selain memastikan arus pendidikan seiring dengan perubahan pembangunan negara.

CURAH BAKTI

Meskipun ada yang menjadikan bidang perguruan sebagai karier kerana tidak berjaya mendapatkan pekerjaan yang diminati, namun mereka akhirnya mencipta kejayaan tersendiri dengan komitmen tinggi.

Begitu juga halnya dengan Mohd Man Saiful Effendy Surati, 44. Selepas 20 tahun bergelar pendidik, anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor ini terus gigih mencurah khidmat bakti dengan penuh rasa bangga.

Lebih dikenali dengan nama "Ferdy Cikgu Celebrity" dalam laman sosial Facebook, beliau berkongsi dengan Bernama cita-cita sebenarnya mahu menjadi pembaca berita dan wartawan penyiaran.

Namun dek kesukaran mendapat pekerjaan diidami selepas tamat belajar, beliau akhirnya memilih menjadi guru setelah mendapat tawaran berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Tanpa memilih kerja saya terima tawaran menjadi cikgu dan dari situ minat itu datang," katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya (UM).

Bercerita perjalanan hidupnya dalam dunia perguruan, selepas tamat pengajian di UM, beliau bekerja sebagai guru ganti dan warden asrama pada Januari 2004 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Harun, Tanjong Karang, Selangor.

Seterusnya pada Jun 2004 hingga Disember 2005 sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Kuala Lumpur.

"Pada 2006 saya mendapat tawaran Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bidang Pengajian Prasekolah di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor. Mula melapor diri pada tahun 2007 di sebuah sekolah di Kuala Lumpur tetapi mengajar aliran perdana.

"Kemudian saya berpindah ke kampung untuk menjaga ibu saya dan masih berkhidmat di aliran perdana.

"Pada 2011 saya dipindahkan ke sekolah yang ketiga atas faktor keperluan perkhidmatan untuk mengajar prasekolah mengikut opsyen saya yang sebenar. Hingga ke hari ini, sudah 14 tahun saya menjadi guru kepada murid prasekolah," katanya yang sering memuatkan perkongsian aktivitinya sebagai seorang pendidik di Facebook dan memiliki seramai 123,000 pengikut.

KERENAH MURID KECIL

Sememangnya bukan mudah tugas mendidik anak-anak kecil yang berusia lima dan enam tahun apatah lagi bagi guru lelaki seperti Mohd Man Saiful Effendy.

Saban tahun ada sahaja kerenah murid semasa sesi awal pembukaan sekolah, tidak kurang yang menangis, emosi tidak menentu, masih minum susu dan pelbagai lagi yang perlu ditempuh guru ini.

Berkongsi pengalaman terbaharu beliau semasa bermula sesi persekolahan tahun ini, Mohd Man Saiful Effendy terpaksa berdepan dengan situasi seorang murid perempuan yang tidak mahu dibimbing oleh guru lelaki dan sering menangis.

"Cabaran utama dalam bidang perguruan pada saya apabila murid tidak boleh menerima kita sebagai guru untuk mendidik mereka. Situasi terbaharu ada seorang murid perempuan tidak mahu guru lelaki mengajar dia. Namun saya ambil perkara ini secara positif.

"Beberapa cara saya lakukan untuk mengubah perspektif murid itu terhadap guru lelaki yang mungkin pada pandangannya seorang yang garang dan bengis.

"Awalnya saya pujuk, beberapa minggu kemudian saya biarkan dia berkawan supaya cepat proses menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah.

"Selepas itu saya banyakkan aktiviti berkumpulan, didik hibur, berkecindan (berjenaka) selain aktiviti fizikal melibatkan pergerakan. Lama-kelamaan murid ini boleh menerima saya sebaiknya," katanya.

Beliau yang kini mengajar di kelas prasekolah sebuah sekolah rendah di Sekinchan, Selangor itu, berkata, sudah menjadi kebiasaan di awal sesi persekolahan perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah murid-murid baharu dari pelbagai latar belakang.

Justeru katanya, beliau mengamalkan pendekatan sebagai kawan dengan murid, agar mereka mudah mesra dengan guru.

"Pemupukan kasih sayang dan sisipan peraturan amat penting. Saya sangat mementingkan disiplin. Saya percaya kejayaan bermula dengan disiplin yang baik.

"Bila guru tidak pilih kasih, semua sama rata berlandaskan undang-undang yang dibuat, mereka akan rasa adil dan seronok untuk belajar," katanya yang mendapat sokongan penuh ibu tercinta Jaliah Slamat,72, ahli keluarga, sahabat handai serta rakan-rakan dalam bidang sama.

KEPUASAN KERJA

Setelah dua dekad berada dalam dunia pendidikan, Mohd Man Saiful Effendy berkata, tiada yang lebih membahagiakannya selaku pendidik selain melihat murid-murid yang masa kecilnya di prasekolah tidak tahu dan kenal huruf, nombor dan menulis akhirnya berjaya sehingga ke peringkat universiti dan tidak kurang juga yang memiliki kerjaya hebat.

Ditanya impian masa depan, cikgu itu berharap agar lebih ramai guru lelaki dalam bidang prasekolah dan menyasarkan untuk terus memartabatkan karier guru prasekolah di Malaysia agar setaraf dengan bidang kerjaya profesional yang lain.

"Nasihat saya kepada adik-adik yang mahu menceburi bidang perguruan, pastikan mempunyai minat, berperwatakan menarik, berketrampilan kemas, mudah mesra, berfikiran positif, miliki unsur kecindan (jenaka) serta kreatif dalam mencari idea.

"Kerjaya ini bukan mengajar semata-mata tetapi ia lebih kepada mendidik dalam pelbagai aspek melibatkan jasmani, emosi, rohani, intelek, dan sosial (JERIS).

"Bidang perguruan turut menuntut kesabaran tinggi kerana setiap hari di sekolah kita akan berhadapan ramai murid dengan emosi yang pelbagai,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, guru harus memastikan objektif pelaksanaan sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) pada hari berkenaan juga tercapai.

Berhubung kriteria yang perlu ada pada seseorang untuk bergelar pendidik, beliau berkata, perkara utama adalah minat berikutan kerjaya yang dipilih bukan untuk setahun dua.

"Pemupukan jiwa dalam semua aspek bidang berkaitan pendidikan perlu dikuasai, diselami dan dihayati seterusnya diterjemahkan dalam pencapaian objektif PdPc di dalam dan luar bilik darjah.

"Guru juga harus mempunyai nilai tambah bukan sahaja dalam bidang akademik semata-mata sebab dalam dunia pendidikan banyak aspek lain yang tidak berkaitan tetapi harus dikuasai untuk melancarkan keadaan, aktiviti, program dan majlis di sekolah," katanya.

BAGAIKAN KAWAN

Bagi Mohd Norazizi Samsudain, 33, berkhidmat sebagai guru menjadi impiannya sejak di bangku sekolah rendah. Cita-citanya itu tercapai lima tahun lepas dan dalam tempoh itu, beliau sudah berkhidmat di sebuah sekolah berasrama penuh di Kedah, institut pengajian tinggi di Selangor dan kini di negeri kelahirannya, Johor (Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir).

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Bahasa Melayu Profesional Komunikasi) daripada UiTM (2015), sebelum itu menceburi dunia kewartawanan selaku pemberita di akhbar Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, perasaan ingin menjadi pendidik terus membuak-buak membuatkan beliau meninggalkan kerjaya itu selepas menerima Ijazah Sarjana Pengajian Melayu (Bahasa Melayu) daripada Universiti Malaya pada tahun 2017.

Pada tahun 2022, beliau meraih Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dari Universiti Antarabangsa UNITAR.

Pada masa ini, beliau mengajar penuntut tingkatan empat dan lima di sebuah sekolah menengah di Tangkak, Johor dan berpandangan, pada peringkat usia itu, pelajar perlu dipikat dengan pendekatan berbeza.

"Pendekatan yang saya gunakan ialah RCR iaitu Rapat-Cungkil-Rungkai. Bagi saya cikgu mesti rapat dengan murid supaya kita boleh cungkil minat, masalah, dan tentangan yang ada dalam kalangan pelajar kemudian barulah saya rungkai satu persatu untuk bantu mereka sedaya yang mampu.

"Dalam mendidik saya tidak pernah membezakan mereka ini bangsa apa, kedudukan kelas dan dari mana asal mereka. Bagi saya pendidikan adalah untuk semua yang dahagakannya.

"Namun pendekatan mengajar pelajar menengah rendah dan menengah atas ini berbeza. Perlu pandai main tarik tali. Tidak boleh terlalu baik dan garang dalam melayan anak muda era kini namun perlu ada ketegasan dan batasan," kata bekas pengamal media itu.

Untuk menerapkan rasa selesa dan mudah mesra antara guru dan pelajar, Mohd Norazizi mengamalkan pendekatan sebagai rakan.

Bukan mudah untuk mengajar pelajar sekolah menengah sudah tentu ada cabaran tersendiri ditambah dengan pelbagai ragam dan ledakan alam siber namun jelas Mohd Norazizi teknologi adalah keperluan remaja masa kini.

"Kita lihat kerancuan (tidak teratur) bahasa di media sosial menjadi antara punca pelajar mudah terpengaruh sekali gus menyukarkan proses menuntut ilmu.

"Justeru saya mengambil pendekatan menggunakan cabaran itu sebagai peluang untuk mereka lebih meminati ilmu. Saya buat akaun TikTok dengan mengajar subjek Bahasa Melayu secara santai.

"Alhamdulillah mereka menerima pendekatan itu. Tambahan pula, banyak aktiviti di kelas saya gunakan teknologi seperti projektor, pembesar suara dan sesi pembelajaran berasaskan permainan.

"Saya lakukan teknik berkenaan kerana tidak mahu menidakkan hak mereka yang hidup dalam proses negara sedang menuju status maju," katanya yang aktif mendedahkan pelajar dengan kemahiran komunikasi dan kesenian bahasa menerusi penyertaan dalam pertandingan puisi, pidato serta forum.

JANGAN JADIKAN PILIHAN TERAKHIR

Mohd Norazizi berharap mereka yang mahu menjadikan kerjaya guru sebagai pencarian rezeki tidak hanya semata-mata kerana ia adalah pilihan terakhir atau sekadar untuk mendapatkan gaji bulanan secara tetap.

"Kerjaya ini satu pekerjaan yang mulia bukan semua orang boleh lakukan. Macam-macam kita kena jadi selain ‘cikgu’. Kadang-kadang kita kena jadi pakar motivasi, adakalanya seperti pegawai polis dan guru juga adalah ibu bapa kedua anak-anak di sekolah," katanya.

Melihatkan betapa besarnya jasa seorang guru, Mohd Norazizi meluahkan sedekit kekecewaan apabila terdapat sesetengah pihak (warganet) yang mengatakan guru tidak layak menerima kelebihan-kelebihan penjawat awam seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Berbicara mengenai sektor perguruan dahulu dan kini Mohd Norazizi berkata, sememangnya dunia perguruan banyak melalui perubahan antaranya daripada segi sistem, pengajaran dan pembelajaran (PdP).

"Sudah tentu berbeza zaman dahulu dan kini namun guru harus senantiasa memberikan yang terbaik untuk organisasinya. Guru dipandang mulia dalam kalangan masyarakat yang menjadi pelanggan utama.

"Oleh demikian segala apa yang pendidik itu buat termasuklah komunikasi, pergaulan di laman sosial serta dunia realiti akan diperhatikan oleh masyarakat," kata bapa kepada seorang cahaya mata itu yang turut berazam menjadi seorang guru yang tidak pernah kenal erti bosan dan penat demi menambah baik kualiti kerja. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!