Dadah RM416,006 ditemui dalam kereta dinaiki enam lelaki
SEREMBAN - Kegiatan pengedaran dadah dipercayai untuk pasaran di selatan tanah air tumpas susulan penahanan enam lelaki bersama rampasan dadah dipercayai jenis syabu bernilai RM416,006.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kesemua suspek ditahan pada Ahad lalu di tepi Jalan Sungai Ujong, berhadapan stesen bas Terminal 1 dekat sini.
"Bertindak atas maklumat dalam Op Tapis, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan telah melakukan tangkapan dua lelaki tempatan dan empat warga asing berusia 28 hingga 46 tahun.
"Selepas pemeriksaan di dalam kereta dinaiki mereka menjumpai lima bungkusan dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 5.203 gram," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, dadah-dadah terbabit dipercayai boleh dibekalkan kepada 10,406 penagih.
Tambahnya, ujian saringan air kencing dilakukan terhadap semua suspek mendapati seorang daripada warga asing tersebut positif dadah jenis methamphetamine.
"Hasil semakan rekod kesalahan lampau mendapati salah seorang daripada warga tempatan mempunyai satu rekod lampau jenayah dan tiga rekod lampau narkotik.
"Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 13 Mei hingga 19 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,"katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!