Lelaki ditahan disyaki beli minyak diesel tanpa kebenaran
TEMERLOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Temerloh menahan seorang lelaki disyaki membeli minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran Pengawal Bekalan Malaysia di daerah ini pada Selasa.
Ketua Cawangan KPDN Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Kuala Krau, di sini selepas anggota penguatkuasa menjalankan risikan selama tiga minggu.
"Perintah tahanan reman selama tiga hari dikenakan terhadap lelaki warga tempatan itu untuk siasatan lanjut.
"Stesen minyak berkenaan juga turut disiasat sama ada bersekongkol dengan individu yang ditahan atau sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan Khamis.
Beliau menjelaskan, nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM85,276.45.
Sehubungan itu, Abdul Razak memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Kesalahan bagi individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!