[VIDEO] Itu pendapat orang Sabah: Dr Mahathir
KUALA KEDAH - [DIKEMASKINI] Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dengan majoriti lebih besar adalah pilihan orang di situ, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, orang Sabah masih belum merasai kebaikan daripada pemerintahan baharu pada hari ini.
"Itu pendapat orang Sabah. Segala yang kita lakukan mengambil masa. Macam kita buat dasar baru untuk pertanian. Kita tidak boleh buat hari ini esok dapat hasil. Akan ambil masa.
"Saya yakin lama-kelamaan rakyat Sabah akan sedar mereka akan dapat pemerintahan yang lebih baik dengan Warisan berkuasa," katanya kepada media selepas hadir di Program Makan Malam 2020: Parlimen Kuala Kedah anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Kedah, dekat sini hari ini.
Hadir sama, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Pada PRK Kimanis hari ini, Mohamad Alamin mengatasi calon Warisan, Datuk Karim Bujang dengan majoriti sebanyak 2,029 undi dalam pertandingan satu lawan satu.
Ketika diminta mengulas mengenai siri kekalahan yang dihadapi PH dalam PRK, Perdana Menteri itu berkata, beliau melihat jentera mereka perlu mempertingkatkan lagi cara-cara untuk berhubung dengan rakyat.
"Kita dapati kita kadang-kadang tak pandai berhubung dengan rakyat. Nak cerita dengan rakyat apa yang kita telah lakukan, kejayaan yang telah kita capai," katanya.
Tambahnya, PH akan mengadakan 'post mortem' dalam mengenal pasti punca-punca kekalahan di Kimanis dengan jumlah majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
"Kita akan tentukan sebab-sebab yang kita kalah. Kalah lebih teruk daripada itu. jadi kita nak tau kenapa. Apa yang rakyat di Sabah rasa kecewa dengan pemerintahan kita sekarang.
"Parti mesti damping dengan rakyat. Kita kena berada dengan rakyat. Kena ambil tahu masalah rakyat dan cuba atasi masalah mereka," katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Kimanis kekal milik BN, majoriti lebih besar
Kemenangan BN isyarat positif di peringkat nasional
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!