17 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap hari

Loke (tengah) ketika Sesi Libat Urus Bersama Editor Media di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Khamis.
Loke (tengah) ketika Sesi Libat Urus Bersama Editor Media di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia merokodkan purata 17 kematian setiap hari akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pada tempoh itu, kira-kira 600,000 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara dengan jumlah kematian 6,443 orang yang mana 4,295 daripadanya melibatkan penunggang motosikal.

Menurutnya, daripada senario kemalangan yang dilaporkan, seramai 3,068 cedera parah manakala 30,799 cedera ringan.

"Ini adalah angka yang menakutkan hingga memberi kesan kepada negara kita dan jika diperhatikan, angka itu konsisten di mana setiap hari merekodkan dua digit angka kematian.

"Angka ini sangat menyedihkan, maksudnya setiap satu hingga dua jam ada kematian jalan raya," katanya dalam Sesi Libat Urus Menteri Pengangkutan Bersama Editor Media di Hotel Royale Chulan di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan, Aedy Fadly Ramli.

Anthony berkata, pihaknya mendapati pemanduan laju meningkatkan risiko kemalangan terutama melibatkan kumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi 'rempit' berbahaya.

Selain itu, tambah beliau, antara sebab lain kemalangan ialah kecuaian, faktor jalan raya dan tidak patuh peraturan lalu lintas.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang penting ialah rasa tanggungjawab setiap pemandu atau penunggang motosikal, lepas keluar rumah ketika memulakan perjalanan perlu berhati-hati walaupun satu saat," ujarnya.

Mengulas mengenai punca kemalangan akibat jalan berlubang, Anthony tidak menafikan perkara itu.

"Ini berhubung kait dengan kenderaan berat yang lebih muatan dan kerap melalui jalan terbabit. Kita ada sistem turap dan penyelenggaraan jalan di setiap negeri yang diberi peruntukan, tetapi masih berlaku dan jalan yang diturap masih berlaku kerosakan.

"Jadi, bagi tindakan kenderaan lebih muatan, ada dua akta yang boleh dikenakan iaitu Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 melibatkan saman serta sitaan.

"Bila tindakan sita dikenakan, kita dicop sebagai kejam, tetapi ada kes yang dilaporkan kenderaan berat membawa muatan hingga 150 peratus, ini kesalahan serius," ujarnya.

Justeru, Anthony berharap kesedaran mengenai kemalangan jalan raya ini dapat ditingkatkan dengan kerjasama pihak media bagi bagi menyampai mesej mendidik dan memberi perhatian kepada masyarakat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!