Lagi 36 negara dibenar guna pintu automatik tapisan Imigresen

36 lagi negara berisiko rendah dibenarkan menggunakan pintu automatik tapisan Jabatan Imigresen di semua pintu masuk negara. Foto FB Jabatan Imigresen Malaysia. Gambar kecil: Saifuddin
36 lagi negara berisiko rendah dibenarkan menggunakan pintu automatik tapisan Jabatan Imigresen di semua pintu masuk negara. Foto FB Jabatan Imigresen Malaysia. Gambar kecil: Saifuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengumumkan 36 lagi negara berisiko rendah dibenarkan menggunakan pintu automatik tapisan Jabatan Imigresen di semua pintu masuk negara yang mempunyai kemudahan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan yang berkuat kuasa 1 Jun depan itu merupakan langkah untuk mengurangkan kesesakan sewaktu ketibaan pengembara terutamanya di waktu puncak.

"Sejak 1 Januari 2023 hingga April lalu seramai 40 juta pengembara tiba ke negara ini dan daripada jumlah itu 30.5 juta tiba melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Tambak Johor," katanya.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab KDN menerusi Imigresen untuk memastikan proses kemasukan pengembara di pintu masuk berjalan lancar berikutan lonjakan angka tersebut.

"Saya yakin inisiatif ini membolehkan pemeriksaan Imigresen di pintu negara dipercepatkan," ujarnya.

Inisiatif tambahan itu antaranya melibatkan kesemua 26 negara dari Kesatuan Eropah, China, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Bahrain, Qatar, Hong Kong dan Taiwan.

Kerajaan memperkenalkan inisiatif tersebut pada 27 Februari tahun lalu dengan permulaan pengembara dari 10 negara dibenar menggunakan kemudahan itu.

10 negara tersebut adalah dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Australia, New Zealand dan Singapura Jepun, Korea Selatan, Brunei dan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, segala butiran diri setiap pengembara diambil dan direkodkan tanpa kompromi terhadap elemen keselamatan.

"Mereka tak perlu beratur, semua butiran diambil dan direkodkan cuma melalui kaedah pengecaman muka. Kemudahan ini itu turut diperluas terhadap kakitangan dan ahli keluarga diplomatik yang bertugas di Malaysia.

"Kementerian akan berbincang dengan Wisma Putra bagi dapatkan maklumat dan perincian mereka dan ahli keluarga," katanya.

Saifuddin turut menyifatkan langkah tersebut tepat kerana Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.

"Banyak mesyuarat antara menteri dan pegawai kanan akan berlangsung dengan sangat kerap.

"Jadi ini sebagai langkah awal untuk kita mempersiapkan proses ketibaan mereka," katanya.

Mengulas mengenai kelengkapan fasiliti bagi melaksanakan inisiatif tersebut, beliau memaklumkan kerajaan berhasrat menambah 40 lagi mesin pintu automatik.

"Di KLIA Terminal 1 dan 2 kita sudah ada 54. Saya yakin Kementerian Kewangan akan beri keutamaan terhadap perolehan ini," kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin menjelaskan terdapat beberapa inisiatif lain sedang dibuat terutamanya di Tambak Johor yang mengendalikan sekitar 350,000 pengembara setiap hari.

"Kami berpendapat proses Imigresen sedia ada tidak lagi dapat bertahan dan dalam masa terdekat kita akan buat beberapa siri pengumuman," jelasnya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!