#MahasiswaUiTMBantah bukan kempen protes, bantahan radikal - MPP

Amir Nur Rashid (tengah) bersama dua pelajar UiTM ketika sidang akhbar pada Khamis.
Amir Nur Rashid (tengah) bersama dua pelajar UiTM ketika sidang akhbar pada Khamis.
A
A
A
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menegaskan bahawa kempen #MahasiswaUiTMBantah bukan satu tindakan protes atau bantahan radikal kepada pihak institusi atau kerajaan.

Yang Dipertuanya, Amir Nur Rashid Lizam berkata, MPP bertindak sebagai barisan hadapan pelajar dan berpendirian untuk mengekalkan status quo semasa termasuk mempertahan hak yang dimiliki UiTM selama ini.

"Kempen ini dilaksanakan semata-mata untuk mendidik dan bukan untuk protes tetapi ia sebagai kesedaran kepada semua orang mengenai Perkara 153 yang kita mahu pertahankan.

"Tiada sebarang perhimpunan atau rusuhan... tiada dalam perancangan, kami hanya mahu laksanakan kempen memakai pakaian berwarna hitam sebagai 'wave' daripada pelajar dalam bentuk solidiriti," katanya ketika sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, MPP UiTM menyeru mahasiswa di universiti itu memakai pakaian hitam sebagai membantah rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.

Mereka turut meminta mahasiswa memuat naik gambar bersama tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai menyokong kempen yang dilancarkan sejak 14 Mei lalu.

Dalam pada itu Amir Nur Rashid memaklumkan, terdapat dua maklum balas yang diterima menerusi inisiatif tersebut iaitu respons di media sosial dan tindakan pelajar memakai pakaian berwarna hitam.

"Dari segi media, generasi kami lebih aktif di media sosial dan semalam UiTM merupakan perkataan yang popular dan penggunaan tanda pagar mendapat lebih daripada 2,000 penggunaan menerusi aplikasi X.

"Hari ini pula saya lihat ramai dalam kalangan mahasiswa memakai pakaian berwarna hitam, itu merupakan penerimaan yang baik dan membuktikan ia salah satu usaha pelajar mempertahan institusi yang mereka menuntut ilmu," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Amir Nur Rashid berkata, penegasan yang dibuat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bahawa tidak ada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM menjadi titik noktah isu tersebut.

"Semalam, pihak KPT iaitu Menteri dan Naib Canselor ada keluarkan kenyataan yang mana ia adalah satu bentuk jaminan yang kami di pihak MPP tunggu kerana ia boleh meletakkan 'full stop' kepada semua perkara.

"Isu ini berlarutan dari awal Mei sampai sekarang dan dengan kenyataan itu, saya ingin berterima kasih kepada Menteri," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!