Guru sokong pendidikan secara digital

Gambar dari kiri: Mohd Amzar, Noor Azmah, Ishwaar
Gambar dari kiri: Mohd Amzar, Noor Azmah, Ishwaar
A
A
A

KUANTAN - Rata-rata guru menyokong usaha memperkasakan kaedah pembelajaran dan pendidikan secara digital di negara ini.

Bagi mereka, dalam mendepani cabaran dunia pendidikan yang semakin mencabar, guru juga perlu bersedia melakukan anjakan paradigma selari dengan peredaran zaman yang kini terarah ke arah adaptasi digital.

Bagi guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Isap Murni, Noor Azmah Abd Wahab, 55, dalam mendepani cabaran pendidikan hari ini, guru tidak dapat lari dengan proses adaptasi digital dalam pengajaran.

"Pelajar makin kurang minat dengan cara 'old school' masuk kelas dengar cikgu mengajar sebaliknya lebih tertarik belajar secara interaktif digital.

"Kaedah pembelajaran baharu ini juga lebih menyeronokkan, memberi impak dan perkara yang itu diajar lebih sampai untuk kefahaman pelajar," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 di Dewan Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini pada Khamis.

Nor Azmah berkata, guru-guru veteran juga perlu mengambil inisiatif belajar perkara baharu terutamanya ilmu berkaitan dunia digital agar tidak ketinggalan.

"Ilmu-ilmu baharu itu boleh diadaptasi bagi menarik minat pelajar untuk datang ke sekolah dan fokus kepada pembelajaran," katanya.

Pendapat itu disokong guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rangin,Mohd Amzar Mohd Azhar, 36.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, proses pembelajaran dan pengajaran digital secara interaktif adalah sesuatu kaedah yang lebih segar dan mampu menarik minat pelajar untuk belajar.

"Ia juga boleh membantu memotivasikan diri setiap guru dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan.

"Saya sendiri jujurnya akan mencari sesuatu yang baharu untuk diterokai dan diterapkan dalam aktiviti kelas untuk dikongsi bersama anak murid,"katanya.

Pada masa sama katanya, sebagai guru, mereka perlu sentiasa belajar ilmu dan kemahiran baharu untuk meningkatkan kualiti dan pencapaian.

"Selain itu, jadikan kerjaya guru yang mulia ini satu ibadah, jalankan tugas dengan ikhlas, bersikap jujur dan amanah pada tanggungjawab yang diberikan," katanya.

Bagi guru SK Bukit Setongkol, Ishwaar Singh a/l Manjit Singh, cabaran dunia pendidikan sentiasa berubah.

Menurutnya, dalam mendepani cabaran itu,menuntut pengetahuan dan kemahiran baharu seiring dengan tuntutan semasa.

"Kita kena tahu apa cabaran itu dan cara menanganinya dengan ilmu.

"Bagi saya setiap guru ada identiti dan kekuatan sendiri dan saling mengimbangi dengan guru-guru lain," katanya.

Ishwaar berkata,tekanan juga perlu untuk mengubah diri bagi seseorang guru.

"Kalau tiada tekanan dan cabaran, kita akan berada di takuk lama.

"Cumanya kena pandai atasi tekanan supaya tidak membawa atau mempengaruhi ke arah yang negatif," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!