Keuntungan MGB melonjak 23 peratus untuk suku pertama 2024

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pembangunan hartanah MGB Berhad (MGB) mengumumkan keputusan suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 (Q1FYE2024).

Bagi suku dalam tinjauan, MGB yang merupakan anak syarikat LBS mencatat peningkatan hasil sebanyak 22.57 peratus kepada RM217.88 juta berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Pencapaian ini adalah berikutan dari peningkatan pendapatan sebanyak sembilan kali ganda bagi segmen pembangunan hartanah kepada RM87.59 juta.

Lonjakan hasil ini turut didorong oleh jualan yang lebih tinggi dan kemajuan di dalam pembangunan projek-projek Idaman Melur, Idaman Cahaya Fasa 1 dan Fasa 2, Idaman Sari dan Saujana Indah Fasa 1.

Segmen pembinaan dan perdagangan terus menjadi pemacu hasil utama MGB. Ia menyumbang 59.8 peratus daripada pendapatan Q1FYE2024, manakala segmen pembangunan hartanah menyumbang baki 40.2 peratus.

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN

Selaras dengan hasil yang lebih tinggi, MGB turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM20.59 juta dan RM15.11 juta, masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 28 peratus dan 23 peratus dari tahun ke tahun.

Pembinaan projek BSP Idaman dan KITA Mekar yang hampir siap, ditambah pula dengan langkah penjimatan kos oleh Kumpulan MGB turut menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San, berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan keputusan suku pertama yang membanggakan pada permulaan tahun baharu.

“Dengan komitmen teguh terhadap kecemerlangan dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi daripada warga kerja MGB, kami telah berjaya menetapkan asas yang kukuh untuk tahun hadapan. Prestasi luar biasa ini adalah bukti kepada visi strategik dan usaha berterusan untuk kelancaran operasi dan pengoptimuman kos.

“Produk konkrit pratuang IBS (sistem bangunan industri) kami telah mengurangkan 33 peratus masa pembinaan di tapak kerja dan meningkatkan proses pembinaan kami secara konsisten,”katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

No Image Caption

Menurutnya, IBS juga telah berjaya menurunkan kos bahan sekaligus meningkatkan kualiti penghasilan produk konkrit pratuang di dalam persekitaran kilang terkawal.

“Dengan tempahan antarabangsa sulung yang diterima bagi pembekalan dan pemasangan produk konkrit pratuang untuk 400 buah vila di projek berprestij Roshn Alarous, utara Jeddah pada Februari 2024, MGB kini bersedia untuk menunjukkan kecekapan di dalam pembuatan dan penggunaan konkrit pratuang teknologi IBS.

“Kami optimis bahawa produk konkrit pratuang IBS yang telah dicuba dan diuji akan memberikan produk berkualiti yang memenuhi kehendak pelanggan dan seterusnya akan mengukuhkan reputasi kami di rantau ini,"katanya.

Menurutnya, sehingga 30 April 2024, buku pesanan pembinaan MGB kekal kukuh pada RM1.19 bilion, manakala jualan belum dibil pembangunan hartanah mencatat RM0.74 bilion.

“Melihat secara positif ke hadapan, MGB bersedia untuk pertumbuhan dan kejayaan yang berterusan, disokong dengan perancangan projek yang teguh, kedudukan kewangan yang kukuh, serta pasukan berbakat yang memacu inovasi dan kecemerlangan.

“Saya yakin MGB akan terus memberikan nilai yang luar biasa dan meraih pencapaian lebih baik pada suku yang akan datang, di samping usaha berterusan untuk mengimbangi komitmen ESG kami dan menyuntik prinsip teras ini ke dalam model perniagaan kami,”katanya.