'Dari dulu sudah pasang niat beraksi di Liga Super' - Saiful
PEMAIN tengah Sri Pahang FC, Saiful Jamaluddin mengakui perjuangannya di pentas Piala MFL musim lalu berjaya memikat hati pengendali, Fandi Ahmad untuk diserap dalam skuad utama Liga Super 2024/25.
Saiful yang juga kapten Sri Pahang bawah 23 tahun (B-23) musim lepas telah beraksi dalam 17 perlawanan kejohanan tersebut dan aksinya yang cemerlang berjaya meletakkan pemain berusia 22 tahun itu di pentas Liga Super untuk musim ini.
Beliau berkata, musim lalu telah membuka banyak peluang buatnya untuk membuktikan kemampuan dan tidak menyangka Fandi memberi kepercayaan kepadanya membarisi kesebelasan utama dalam perlawanan pertama liga menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC Sabtu lalu.
Malah beliau turut berharap agar lebih ramai pemain muda yang beraksi di pentas Piala MFL memiliki impian sama untuk cuba merebut tempat ke skuad utama dengan menampilkan prestasi terbaik pada kejohanan itu.
“Tahun lepas memang rezeki saya apabila dapat banyak bermain untuk perlawanan pada kejohanan Piala MFL.
"Jurulatih pun nampak potensi seterusnya memanggil saya untuk sertai skuad utama.
“Memang dari dulu sudah pasang niat untuk beraksi di Liga Super dan saya harap kawan-kawan yang lain juga terus bersemangat untuk buktikan sesuatu di Piala MFL agar dapat diserap ke dalam pasukan utama.
“Namun masih banyak yang saya kena ubah terutamanya dari segi permainan sebab kalau di Piala MFL corak permainan berbeza dan di Liga Super lebih laju,” katanya.
Selain Saiful, antara pemain kelab lain yang turut diserap ke pasukan Liga Super adalah Hairey Hakim Mamat, Syafik Ismail dan Syahmi Zamri yang bersama Terengganu FC.
Pemain-pemain lain adalah Hong Wan, Feroz Baharudin, Ramadhan Saifullah dan Gabriel Nistelrooy bagi kelab JDT, manakala Amirul Aiman Ibrahim, Juzaerul Jasmi dan Khairul Naim Zainal Abidin untuk kelab Kuala Lumpur City FC.
Bagi kelab Kuching City FC pula Abang Azri Fikri Abang Saufee dan Alauddin Farid Atan, Aiman Afif (Kedah Darul Aman FC) dan Umeir Aznan (Kelantan Darul Naim FC).
Penang FC paling ramai menggunakan pemain dari Piala MFL iaitu Haziq Mukriz Hasemuddin, Aikmal Roslan, Iman Rafaei Abd Razak, Shafi Azswad Sapari, Izzat Zikri Iziruddin, Daniel Irfan Nadzri dan Alif Ikmalrizal Anuar.
Afiq Fitri Jefry dan Amirul Hakimi Rosli turut dinaikkan pangkat ke skuad utama Negeri Sembilan FC, manakala Nor Hakeem Hamidun dan Iqbal Azmi untuk PDRM FC.
Perak FC turut mendaftarkan empat pemain bawah 23 tahun iaitu Kamal Arif Azrai Shakimar, Alif Zikri Zaini Anuar, Nik Umar Nik Azizi dan Aiman Khairul Yusni serta Shahrol Nizam Abd Rahman yang beraksi untuk Sabah FC.
Selangor FC pula mendaftarkan seramai empat pemain dari Piala MFL iaitu Danial Asri, Harith Haiqal, Syahir Bashah dan Alif Izwan Yuslan.
Menjelang aksi kedua Liga Super, Sri Pahang bakal berdepan Kuching City FC pada Ahad ini dan dijangka pertembungan sengit.
Kuching City terdahulu berjaya menafikan hasrat kemenangan Kuala Lumpur (KL) City FC untuk meraih tiga mata selepas seri dalam pertembungan pertama Liga Super baru-baru ini.
“Saya ada tengok aksi Kuching City masa lawan KL City dan boleh nampak yang mereka semakin baik.
“Kita memang tidak boleh ambil mudah perlawanan ini dan perlu meneruskan momentum untuk raih tiga mata selepas ini,” ujar Saiful.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!