21 nelayan ditahan langgar syarat lesen
LUMUT - Tiga vesel bersama 21 kru ditahan selepas dikesan melanggar Akta Perikanan 1985 menerusi program Pemantauan, Pengawalan dan Pengawasan (MCS) di sekitar perairan Selangor dan Perak.
Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap berkata, program penguatkuasaan selama dua hari bermula sejak Rabu itu dilaksanakan melibatkan kekuatan lapan anggota dan sebuah aset laut.
"Dua vesel peranti pengumpul ikan (MPPI) telah ditahan kerana telah melakukan kesalahan memasang lampu peranti mengumpul ikan kurang dari 15 batu di perairan Tanjung Sauh, Sabak Bernam, Selangor.
"Sebuah vesel penangkapan ikan Zon C telah ditahan kerana melanggar Akta Perikanan 1985," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurut beliau, kesemua vesel bersama 21 kru dan barang sitaan bernilai RM2.5 juta dibawa ke Pangkalan MCS Kampung Acheh di sini untuk siasatan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
"Siasatan dijalankan selepas didapati menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan menggunakan alat komunikasi tanpa kebenaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Selain kesalahan memasang lampu peranti mengumpul ikan, pihaknya turut menemukan bubu ikan di atas vesel ketika ditahan serta kesalahan berkaitan nombor pendaftaran vesel," katanya.
Mohd Ghazali berkata, program MCS Zon Pantai Barat itu dilaksanakan bagi mengawal aktiviti penangkapan ikan selaras tatacara pengurusan perikanan.
"Tumpuan diberikan terhadap pelanggaran Akta Perikanan 1985 dan syarat-syarat lesen penangkapan ikan serta pemeriksaan pematuhan ke atas vesel–vesel penangkapan ikan tempatan yang dilesenkan di bawah Jabatan Perikanan Malaysia.
"Selain itu, pemantauan dijalankan terhadap penggunaan sistem pengawasan vesel penangkapan ikan (VMS) dan Automated Identification System (AIS)," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!