Kempen baju hitam, bukan bantahan sebaliknya ekspresi pelajar - NC UiTM

Shahrin (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU antara UiTM dan SACC Convec Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Shah Alam di Shah Alam pada Khamis.
Shahrin (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU antara UiTM dan SACC Convec Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Shah Alam di Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Prof Shahrin @ Sahib Sahibuddin menyifatkan kempen memakai pakaian hitam bukan satu bantahan sebaliknya ekspresi luahan perasaan pelajar universiti berkenaan.

"Pertamanya kita di universiti memang memperkasakan mahasiswa, jadi dalam konteks kematangan mereka dalam keadaan sekeliling dan sebagainya memberi ekspresi tentang apa yang mereka rasa.

"Jadi bagi saya itu adalah ekspresi mereka dalam menyatakan sokongan mereka terhadap mengekalkan tujuan penubuhan UITM dalam Akta 173 Perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan)," katanya ditemui pada majlis menandatangani MoU antara UiTM dan SACC Convec Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Persatuan Pelajar UiTM membantah keras sebarang cadangan membuka kemasukan kepada pelajar bukan bumiputera walaupun cadangan itu hanya untuk program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks.

Sehubungan itu, MPP UiTM menggesa pelajar memakai pakaian hitam pada Khamis dan menggunakan tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai tanda sokongan kepada kempen tersebut.

MPP dalam kenyataannya berkata, objektif penubuhan UiTM adalah melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, Orang Asli, dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Ini kata mereka, bagi memastikan pelajar bumiputera berpendapatan rendah mendapat akses kepada pendidikan tinggi, memetik Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tidak ada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM di mana-mana peringkat kementerian mahupun Kabinet.

Artikel Berkaitan:

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata, isu kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM sengaja dijadikan polemik oleh pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM.

Ujarnya, KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173, UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!