Wabak misteri Wuhan
SEJAK Disember 2019, wabak misteri pneumonia atau radang paru-paru menular secara tiba-tiba di Wuhan di timur China.
Wabak baharu tersebut dikaitkan dengan virus korona yang membawa maut sebelum ini, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang meragut lebih 700 nyawa.
Sehingga kini, dua kematian telah dilaporkan di China akibat wabak misteri tersebut dan hampir 50 pesakit dijangkiti.
Awal minggu lalu, Jepun mengesahkan kes pertama di negara itu, namun pesakit terbabit disahkan telah sembuh manakala dua kes dilaporkan di Thailand hingga menyebabkan pihak berkuasa kesihatan kini menggesa orang ramai supaya berwaspada.
Susulan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara di seluruh dunia supaya meningkatkan pengawasan mereka terhadap jangkitan pernafasan akut yang teruk walaupun tiada sekatan perjalanan dikeluarkan setakat ini.
Difahamkan, tiada vaksin berlesen atau rawatan khusus untuk merawat virus baharu tersebut.
Wabak virus korona itu dikaitkan dengan sebuah pasar borong makanan laut Huanan di Wuhan yang turut menjual daging dan haiwan.
Ia kemudiannya terpaksa ditutup selepas penularan wabak itu yang menyebabkan beberapa pekerja jatuh sakit, namun tiada bukti jelas menunjukkan virus tersebut disebarkan antara manusia dan ia didakwa berasal daripada haiwan.
Sejak beberapa minggu lalu, saintis telah melakukan kajian terhadap virus korona baharu tersebut termasuk 41 sampel yang diperoleh daripada pesakit.
Hasil penyelidikan mereka mendapati ia tidak berkait rapat dengan virus manusia.
Bagaimanapun, wakil WHO di China, Gauden Galea menegaskan kajian lanjut perlu dilakukan untuk menentukan sumber, cara penghantaran, tahap jangkitan dan tindak balas yang dilaksanakan.
80 peratus seperti SARS
Virus korona Wuhan itu dikatakan mempunyai persamaan dengan wabak SARS-CoV pada 2002-03.
Wabak tersebut bermula di selatan China dan berlarutan selama lebih sembilan bulan dan turut merebak ke 37 negara selain menyebabkan kira-kira 8,098 jatuh sakit manakala 744 meninggal dunia.
Hampir 10 peratus daripada mereka yang dijangkiti akan menemui ajal dan ia merebak secara cepat antara manusia dan paling terdedah adalah kakitangan perubatan yang merawat pesakit.
SARS-CoV dikesan pada beberapa haiwan termasuk musang dan rakun yang dijual sebagai makanan di pasar.
Haiwan yang dijangkiti itu bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang simptom.
Langkah segera penutupan pasar dan menghapuskan haiwan yang dijangkiti serta rawatan intensif terhadap pesakit berjaya menghalang wabak itu daripada terus menular.
Kajian lanjut turut menemui virus seperti SARS pada spesies kelawar kuda yang ditemui di dalam gua di China.
Laporan itu mendapati musang terbabit mungkin mendapat jangkitan daripada kelawar itu yang kemudiannya disebarkan kepada manusia.
Sejak 2003, tiada lagi jangkitan SARS dilaporkan dan virus tersebut dipercayai telah ‘pupus’.
Prof Yuen Kwok Yung di Universiti Hong Kong berkata, genetik virus korona baharu itu mempunyai persamaan 80 peratus dengan virus SARS yang ditemui pada kelawar, musang dan manusia.
Menurutnya, perbezaan pada kedua-duanya adalah pada bahagian virus yang menentukan sama ada ia boleh memasuki sel haiwan.
“Urutan genetik virus itu boleh berubah, sekali gus mengubah ketoksikan dan jangkitan pada individu,” kata Kwok Yung sambil menambah perubahan virus SARS pada 2003 menyebabkan ia boleh tersebar dalam kalangan manusia.
Sehingga kini, penyelidik tidak menolak kemungkinan virus itu boleh disebarkan antara manusia memandangkan ahli virologi di seluruh dunia masih mengkaji urutan genom virus tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!