UiTM: Cadangan terima bukan bumiputera atasi isu kurang pakar jantung

Dr Kelvin
Dr Kelvin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Cadangan menerima pelajar bukan Melayu melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) merupakan tindak balas kecemasan bagi menangani isu kekurangan pakar jantung di negara ini.

Ahli Parlimen Kuching yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, hal ini didorong oleh faktor bahawa UiTM mempunyai formula silibus kurikulum yang terbaik di dalam pembedahan jantung.

Katanya, pelajar akan dipindahkan ke Universiti Malaya (UM) setelah program Sarjana Pembedahan Jantung mereka digubal dengan lengkap sepenuhnya kelak.

"Cadangan ini merupakan satu tindak balas kecemasan negara kita khususnya di dalam menyediakan dan meningkatkan kualiti penjagaan pesakit bukannya mencabar kedudukan istimewa atau hak perlembagaan Melayu yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya percaya bahawa kita harus fokus untuk membicarakan solusi terbaik mengenai isu ini.

"Semua institusi lokal yang berkebolehan dan berkemampuan harus memaksimumkan kemampuan mereka menghasilkan tenaga pakar," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway Alumni UiTM - Institut Jantung Negara (IJN), Raja Amin Raja Mokhtar berkata, UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti berkenaan.

UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama IJN dalam bidang kardiotoraks.

Artikel Berkaitan:

Tambah Dr Kelvin, permasalahan itu memberi kesan kepada sistem penjagaan kesihatan negara dan kualiti perkhidmatan pesakit yang amat serius jika masalah tidak ditangani dengan baik.

"Ramai pesakit terpaksa menunggu sehingga enam bulan atau setahun bagi mendapatkan pembedahan jantung.

"Amat menyedihkan kerana ada yang meninggal dunia sementara menunggu giliran rawatan mereka.

"Penyakit jantung ini dihidapi oleh semua bangsa dan tidak pernah membezakan bangsa dan agama pesakit dan tidak juga penyakit ini membezakan bangsa dan agama doktor pakar yang bakal merawat kita nanti," jelasnya.

Menurut beliau, kekurangan doktor pakar pembedahan jantung amat kritikal dan membimbangkan apabila dianggarkan hanya mampu menghasilkan 19 peratus doktor pada tahun 2025, kurang 11 peratus bagi mencapai sasaran sebanyak 30 peratus.

"Sedangkan negara memerlukan nisbah doktor pakar satu nisbah 500,000 pada tahun 2025 dan satu nisbah 450,000 pada 2030.

"Kadar nisbah semasa menunjukkan negara kekurangan 15 peratus tenaga pakar pembedahan jantung yang diperlukan pada tahun 2030," jelasnya.

Beliau memberitahu, Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan pada 2025 negara kita akan mempunyai populasi penduduk sebanyak 36,022,700 dan 38,062,200 bagi 2030.

"Berdasarkan anggaran nisbah di atas, Malaysia memerlukan 90,057 orang doktor pada 2025 dan 114,187 orang doktor pada 2030.

"Daripada jumlah yang dinyatakan, sektor awam memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus doktor pakar.

"Ini bermakna kita memerlukan seramai 18,912 (2025) dan 23,979 (2030) doktor pakar di sektor awam kelak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!