Sesi latihan secara tertutup hanya sementara - Exco Terengganu

Hishamuddin (tengah) ketika menghadiri majlis ramah mesra dan minum petang rakan penaja TFC, di Kuala Terengganu pada Khamis.
Hishamuddin (tengah) ketika menghadiri majlis ramah mesra dan minum petang rakan penaja TFC, di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

SESI latihan bola sepak secara tertutup tanpa kehadiran penyokong yang dikuatkuasakan susulan insiden samun bersenjata ke atas pemain pasukan Terengganu FC (TFC) hanya bersifat sementara.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, langkah itu diambil bagi menjamin keselamatan pemain sekali gus mengelak kejadian sama berulang.

"Sebenarnya dalam sukan bola sepak ini kita lebih suka latihan diadakan secara terbuka kerana ia lebih bersifat kekeluargaan, bagaimanapun langkah menutup sesi latihan itu terpaksa diambil atas faktor keselamatan.

"Ia hanya bersifat sementara dan situasi akan kembali seperti sedia ada. Penyokong juga akan berpeluang menyaksikan kembali pasukan itu beraksi dalam sesi latihan di padang bola sepak apabila tiba masa yang sesuai," katanya ketika sidang akhbar selepas majlis ramah mesra dan minum petang rakan penaja TFC, di Kuala Terengganu pada Khamis.

Menurut Hishamuddin, langkah itu diambil atas nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pergerakan pemain tidak diperhatikan oleh mana-mana pihak.

"Kita dapati serangan terhadap Akhyar di Icon Residen (kondominium) oleh pelaku yang telah memerhatikan gerak gerinya sejak sesi latihan di padang.

"Sehubungan itu, kita telah mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan aspek keselamatan pemain termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di pusat latihan.

"Saya juga berharap agar kes tersebut adalah yang terakhir berlaku kerana kita di sini belum pernah berdepan serangan fizikal sebegini dalam arena bola sepak negara," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini kerajaan Negeri mengambil pendekatan pantas dengan tidak lagi membenarkan orang ramai atau penyokong berada di kawasan padang latihan bola sepak pasukan TFC di Gong Badak, di Kuala Nerus.

Langkah itu diambil bagi memastikan isu keselamatan pemain terjamin susulan kejadian samun menimpa pemain sayap TFC, Akhyar Rashid, 25 dan bintang Selangor FC, Faisal Halim, 26 yang disimbah asid, baru-baru ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!