Kurang sebulan ditayangkan, filem Sheriff cecah kutipan RM60 juta
FILEM ‘Sheriff: Narko Integriti’ arahan Syafiq Yusof terus mengungguli carta teratas pawagam di seluruh negara dengan meraih kutipan mencecah RM60 juta walaupun belum sampai sebulan ditayangkan.
Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif bersama filem tersebut, Datuk Yusof Haslam berkata, ini merupakan rezeki yang tidak ternilai harganya setelah kru produksinya berhempas pulas dalam menghasilkan filem aksi itu.
"Saya memang serahkan rezeki kepada ALLAH SWT dan alhamdulillah sambutan yang kami terima daripada penonton hingga kini masih hangat meski belum sebulan ditayangkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Yusof yang juga bapa kepada Syafiq berkata, filem Sheriff itu bakal menembusi pawagam di negara jiran, Indonesia bermula 22 Mei ini.
"...filem di pawagam sekarang agak suram sambutannya, jadi ini satu perkembangan yang bagus untuk industri filem dan lebih indah lagi pada 22 Mei ini cerita tersebut akan mula ditayangkan di Indonesia,” katanya.
Sementara itu, banyak komentar positif diberikan terhadap filem itu di laman X dengan rata-rata menyatakan ia tidak cukup ditonton hanya sekali.
"Kita dua kali dah tengok cerita ini... Plot twist paling epik tapi unik... Dari awal hingga akhir semuanya tak dijangka siapa jahat siapa baik... Rate untuk Sheriff saya bagi 12/10...,” menurut @Mfrds1426.
Sementara @afiqah93 berkata, filem itu sangat berbaloi untuk ditonton kerana jalan ceritanya yang tidak klise selain semua pelakon menunjukkan hasil lakonan yang mantap.
Filem Sheriff yang membariskan pelakon seperti Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan mengisahkan anggota polis dari Jabatan Integriti iaitu Sheriff bergandingan dengan Nazri, seorang anggota polis muda dari Jabatan Narkotik untuk menumpaskan sindiket dadah Tony Ifrit.
Sebelum ini, filem ‘Mat Kilau arahan seorang lagi anak Yusof, Shamsul melakar sejarah apabila mencatat kutipan RM97 juta pada 2022 sekali gus meletakkannya sebagai filem dengan kutipan tertinggi di negara ini. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!