Op Tapis Bersepadu: Lebih 1,000 individu ditahan di Kelantan

Muhamad Zaki
Muhamad Zaki
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan sejumlah 1,488 individu atas pelbagai kesalahan dadah dalam Operasi Tapis Bersepadu di seluruh Kelantan bagi tempoh 29 April hingga semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mereka yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 73 tahun dan terdiri daripada 1,468 lelaki serta 20 wanita.

Beliau berkata, tumpuan adalah di kawasan yang dikenal pasti sebagai sarang penagih yang menjalankan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah dan polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM942,639 dalam operasi itu.

"Antara dadah yang dirampas ialah daun ketum seberat 737.7 kilogram, air ketum 787.46 liter, pil kuda seberat 4,479.08 gram, syabu seberat 480,67 gram dan heroin seberat 211.64 gram,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki berkata, jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan untuk seramai 55,365 penagih manakala kenderaan serta wang tunai yang dianggarkan bernilai RM310,800.00 turut disita dan kes disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta)1988.

Beliau berkata, polis akan terus melancarkan operasi berkesan setiap hari bagi mengekang penyeludupan dan kemasukan dadah dari negara jiran serta membanteras penyalahgunaan bahan terlarang itu dalam kalangan masyarakat di Kelantan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: