Dua beregu negara mara ke suku akhir terbuka Thailand
DUA beregu lelaki negara mara ke suku akhir Terbuka Thailand 2024 selepas memenangi perlawanan pusingan kedua masing-masing yang berlangsung di Stadium Nimibutr di sini hari ini.
Beregu muda negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian menjadi wakil pertama negara mara ke suku akhir selepas mudah menewaskan pasangan Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-Nga 21-17, 21-10 dalam 33 minit.
Pasangan ranking ke-28 dunia itu akan berdepan Lu Ming Che-Tang Kai Wei bagi perebutan tiket ke separuh akhir esok selepas beregu Taiwan itu menewaskan wakil Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Wang Chan 23-21, 18-21 and 21-14.
Beregu negara semakin meningkat Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menjadi pasangan kedua negara layak ke suku akhir menerusi kemenangan ke atas pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-14, 21-13.
Wan Arif-Roy King yang menghuni ranking ke-64 dunia akan membuat perhitungan dengan pasangan nombor tiga dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada aksi suku akhir esok.
Pilihan utama kejohanan dari India itu yang juga juara Sukan Asia Hangzhou 2022 tidak menghadapi masalah untuk melangkah ke pusingan seterusnya selepas mengatasi gandingan China Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-16 and 21-11.
Ketika ditemui selepas perlawanan, Wan Arif berkata, mereka akan bermain mengikut perancangan permainan dan tidak akan meletakkan diri mereka terlalu tertekan untuk perlawanan esok.
"Kami bukan pilihan menentang pasangan pilihan utama dan merekalah yang sepatutnya berasa tertekan.
"Jadi kami hanya mahu menikmati permainan dengan kurang melakukan kesilapan semoga mudah-mudahan cukup untuk memenangi perlawanan itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkongsi harapan mereka untuk memasuki sekurang-kurangnya separuh akhir dalam setiap kejohanan yang disertai dan ia masih sama untuk kejohanan kali ini.
Bagaimanapun, Hon Jian berkata, mereka akan meneruskan corak permainan serangan terhadap Ming Che-Kai Wei pada suku akhir esok.
"Kami sentiasa lebih mengutamakan permainan menyerang berbanding bertahan dan itu adalah pelan permainan. Kami berharap dapat memasuki separuh akhir untuk membawa momentum pada Malaysia Masters minggu depan,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!