Tidur tiga jam sahaja sehari!
BUKIT MERTAJAM - "Dalam sehari saya sempat lelap tiga jam sahaja untuk menghasilkan kuih bakul yang berkualiti," demikian kata usahawan muda, Nur Farrah Diba Azhar.
Nur Farrah Diba, 30, berkata, ini kerana proses pembuatan kuih tradisi masyarakat Cina itu sangat rumit dan tidak boleh lalai sedikit pun kerana jika tidak, kuih bakul yang dihasilkan akan berair dan tidak naik.
Katanya, untuk mendapatkan kuih bakul yang bermutu, beliau menggunakan ramuan daripada bahan semula jadi terutamanya daun pisang yang digunakan sebagai pembalut kuih bakul untuk menaikkan aroma asli kuih itu.
Selain itu menurutnya, beliau tidak menggunakan acuan plastik sebaliknya menggunakan acuan besi bagi mengekalkan bau, rasa dan tekstur kuih bakul itu.
"Proses untuk menyiapkan sebiji kuih bakul memakan masa selama tujuh hari kerana perlu memastikan kuih bakul betul-betul kering, jika tidak ia akan menggalakkan kehadiran kulat. Proses pembuatan kuih bakul ini juga haruslah teliti dan bersih.
"Dari segi bancuhan dan adunan termasuk proses pembalutan adalah 100 peratus dilakukan sendiri manakala pekerja hanya melakukan proses penyediaan barangan,” katanya ketika ditemui di kedainya di Bandar Perda di sini.
Nur Farrah Diba yang dibantu dengan tujuh pekerja mampu menghasilkan 50 biji kuih bakul dalam masa sehari dan proses pembuatan kuih itu dilakukan di kilangnya yang terletak di Taman Janggus Jaya di sini dan bengkelnya di Ipoh, Perak setiap kali menjelangnya perayaan Tahun Baru Cina.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, beliau mempelajari teknik pembuatan kuih itu selama tiga tahun daripada keluarganya yang merupakan campuran Melayu dan Cina serta jirannya berketurunan Cina yang dipanggil sebagai 'aunty'.
"Nak hasilkan kuih ini bukan mudah. Pernah sekali saya cuba buat masa mula-mula belajar buat kuih bakul suatu masa dahulu tidak menjadi kerana kurang kemahiran dari segi teknik.
"Atas sebab itu saya rasa lebih baik saya menyediakan sendiri adunan dan bancuhan kerana isi kandungan ramuannya saya lebih tahu," katanya.
Nur Farrah Diba berkata, proses yang paling sukar dalam pembuatan kuih bakul ialah membalut kuih itu.
"Proses ini agak rumit dan perlukan ketelitian. Jika tidak adunan kuih bakul yang dikukus selama 16 jam akan meleleh dan menyebabkan ia kelihatan comot dan tidak kemas," kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.
Dari segi sambutan pula, beliau meluahkan rasa syukur atas sokongan yang diberikan oleh pelanggan yang sentiasa membuat tempahan.
"Kami hasilkan produk makanan mengikut musim kerana untuk mengekalkan kepelbagaian. Jadi, sambutan yang diterima amat menggalakkan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!