Laju betul orang TNB buat kerja

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MINGGU lepas, lebih kurang jam 9.15 pagi, rumah Merak Jalanan terputus bekalan elektrik secara tiba-tiba.

Merak Jalanan jarang membuat aduan menerusi TNB Careline kalau berlaku blackout kerana biasanya melibatkan satu taman perumahan.

Pasti ada jiran membuat aduan. Tapi kali ini Merak Jalanan terpaksa hubungi sendiri kerana rumah Merak Jalanan sahaja yang tiada elektrik.

Panggilan Merak Jalanan disambut oleh suara seorang wanita dengan nada yang lembut.

Terkejut juga, rupa-rupanya apabila membuat panggilan, secara automatik dia tahu nama dan alamat rumah Merak Jalanan kerana nombor telefon bimbit yang digunakan sudah ada dalam sistem mereka.

Merak Jalanan dijanjikan tempoh dua hingga empat jam untuk pihak teknikal TNB datang rumah membuat pemeriksaan. Tapi, rupanya tidak!

Dalam tempoh lebih kurang sejam sahaja, tiga pekerja teknikal TNB ‘terpacak’ depan rumah Merak Jalanan.

Setelah diperiksa, ada masalah sedikit pada fius di tiang luar dan berjaya diselesaikan tidak sampai lima minit.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan biasanya mengkritik orang dalam ruangan itu, tapi kali ini nak memuji pula.

Tolak tepi isu bil elektrik melambung kerana penggunaan elektrik yang banyak ketika cuaca panas lalu.

Sebelum ini Merak Jalanan dengar maklum balas orang ramai yang memberitahu TNB cepat mengambil tindakan kalau ada aduan bekalan elektrik terputus, walaupun pada jam 3 pagi.

Apabila Merak Jalanan sendiri alaminya, baru nampak apa yang dikatakan itu benar.

Ada juga yang kata TNB cepat sebab mereka syarikat swasta.

Merak Jalanan terfikir, kalau begitu, mungkin jabatan-jabatan kerajaan juga patut ikut cara kerja syarikat-syarikat swasta seperti TNB ini dalam memastikan perkhidmatan diberikan memuaskan hati pelanggan.

Lebih-lebih lagi apabila gaji penjawat awam bakal naik nanti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!