Novel Korea kini dalam versi bahasa Melayu
SHAH ALAM - Sebuah novel Korea diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bertajuk Selamat Datang Ke Kedai Buku Hyunam-dong mengajak pembaca merenung semula perjalanan mencari tapak kerjaya dan bagi mereka yang mahukan hidup lebih tenang.
Pengurus Penerbitan Grup Buku Karangkraf (GBK), Azzah Abdul Rahman berkata, bahan bacaan tersebut diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf di bawah jenama Karangkraf Literature (K-Lit) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang akan bermula pada 24 Mei ini.
Menurutnya, novel tersebut dipilih untuk diterjemahkan kerana menceritakan tentang kehidupan harian dan isu-isu yang dihadapi oleh pengusaha-pengusaha kedai buku.
“Lagipun, inti pati buku ini banyak informasi berkaitan bahan bacaan antarabangsa yang hebat dan diibaratkan membaca buku-buku lain.
“Selain itu, ia juga diisi dengan maklumat tentang pemilihan biji kopi dan proses seduhan kopi,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Azzah, nilai-nilai yang dibawa oleh novel tersebut juga menepati tema K-Lit iaitu memberi maklumat dalam bidang pekerjaan, persahabatan dan kekeluargaan.
Ujarnya, bahan bacaan tersebut akan menjadi perhatian golongan dewasa muda yang masih mencari tapak kerjaya dan mereka yang sudah penat bekerja.
“Buku ini mengisahkan tentang sebuah kedai buku kecil menjadi tempat berteduh dan destinasi untuk singgah bagi jiwa yang memiliki luka serta berasa kehilangan.
“Di sini, buku-buku tersebut menghubungkan mereka dan menyembuhkan luka. Perbualan tulus penuh makna, mengingatkan bahawa tidak pernah terlewat untuk menamatkan plot lama dan memulakan kisah baharu dari halaman pertama,” ceritanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!