UiTM untuk bukan bumiputera: Permulaan pencerobohan hak orang Melayu?

Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Universiti Teknologi Mara (UiTM).
A
A
A

SEJAK Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditubuhkan pada 1956 sebagai Dewan Latehan RIDA, umum sudah mengetahui bahawa universiti itu hanya terbuka kepada golongan bumiputera (Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak).

Syarat kemasukan itu menjadi dasar pengambilan pelajar baharu UiTM sehingga hari ini seiring dengan tujuan penubuhannya iaitu membantu golongan bumiputera di luar bandar.

Baru-baru ini ada beberapa pihak yang berhasrat supaya institusi pendidikan awam itu dibuka kepada pelajar bukan bumiputera.

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar sebagai berkata, UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti berkenaan.

UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini turut meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti mereka menerima pelajar antarabangsa sekarang.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tidak ada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM di mana-mana peringkat kementerian mahupun Kabinet.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, isu kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM sengaja dijadikan polemik oleh pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.

"Seperti kenyataan saya pada 2 Mei lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan bumiputera sepertimana yang telah dimainkan pada hari ini," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, pada 8 Mei, Naib Canselor UiTM Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, universiti itu tetap komited mempertahankan Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang hanya membenarkan kemasukan pelajar bumiputera ke institusi berkenaan.

Meskipun cadangan tersebut dikhususkan kepada bidang tertentu namun dikhuatiri ia akan menjadi permulaan kepada pencerobohan hak istimewa orang Melayu dalam UiTM.

Siapa tahu, jika ia dibenarkan sekarang tidak mustahil sedikit demi sedikit peluang itu semakin terbuka luas buat golongan bukan bumiputera.

Menggunakan alasan khuatir negara akan mengalami masalah doktor, timbul persoalan adakah hanya UiTM yang memegang tanggungjawab untuk melahirkan pakar dalam bidang berkenaan?

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!