Lebih 500,000 penduduk Gaza hilang tempat tinggal
AMMAN - "Lebih setengah juta penduduk Palestin hilang tempat tinggal akibat Perang Gaza selepas rejim Zionis memperhebatkan serangan ke seluruh wilayah terkepung itu."
Anggaran tersebut diberikan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) selepas hampir 450,000 penduduk Palestin dipaksa berpindah dari bandar Rafah setelah Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memperluaskan operasi ke bandar paling selatan Gaza tersebut.
Selain itu, kira-kira 100,000 penduduk Palestin di utara enklaf tersebut juga tiada tempat tinggal.
“Golongan berkenaan berdepan keletihan melampau kerana terpaksa berpindah-randah dan kelaparan serta sentiasa hidup dalam ketakutan.
“Tiada lagi tempat selamat di Gaza. Pelaksanaan gencatan senjata segera satu-satunya harapan buat mereka,” ujar agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menerusi platform X.
Unit kereta kebal IDF didakwa sudah semakin mara ke bahagian timur Rafah setelah penduduk di kawasan berkenaan turut melihat kepulan asap tebal dan letupan kuat akibat kempen pengeboman ke atas sejumlah kediaman.
Di kem pelarian Jabalia, utara Gaza, kenderaan perisai bersama jengkaut bertindak mengepung zon pemindahan dan pusat penempatan sementara setelah pertempuran sengit berterusan.
Sejak minggu lalu, IDF mengarahkan lebih ramai penduduk Gaza supaya meninggalkan kawasan utara tersebut setelah serangan semakin ganas.
Jurucakap Timbalan PBB, Farhan Haq memberitahu langkah pengusiran dilaksanakan rejim Zionis telah menyebabkan kira-kira 100,000 orang tiada tempat mahu dituju.
ORANG AWAM PERLU DILINDUNGI
Sementara itu, Pelapor Khas PBB di wilayah Palestin, Francesca Albanese berkata, IDF sengaja menggunakan istilah ‘arahan berpindah’ dan ‘zon selamat’ untuk mencipta ilusi bahawa operasi ketenteraan mereka kononnya memastikan orang awam dilindungi.
“Penubuhan ‘pulau kemanusiaan palsu’ itu telah menjadikan Gaza sebagai sebuah tempat tanpa orang awam,” ujarnya.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam satu kenyataan pula mengakui amat terkejut dengan peningkatan aktiviti ketenteraan di sekitar Rafah ketika komuniti antarabangsa sedang memberi tumpuan terhadap perkembangan di bandar berkenaan.
“Orang awam perlu dihormati dan dilindungi sepanjang masa tidak kira di Rafah atau tempat lain di Gaza,” menurut Stephane Dujarric sambil menambah Guterres mengulangi gesaan beliau supaya melaksanakan gencatan senjata kemanusiaan segera.
Pada 7 Mei lalu, IDF menceroboh sektor timur Rafah dan merampas kawalan bahagian Gaza di lintasan sempadan Rafah menghubungkan dengan Mesir yang merupakan koridor utama untuk penghantaran bantuan ke enklaf tersebut.
Kempen pencerobohan tersebut dilancarkan selepas pejuang Hamas bersetuju dengan cadangan tempoh bertenang yang dikemukakan Qatar dan Mesir selaku perantara proses damai tersebut.
Sebelum operasi itu dilancarkan, kira-kira 1.5 juta penduduk Palestin berlindung di bandar tersebut yang pada mulanya ditetapkan sebagai ‘zon selamat’ oleh IDF.
‘Bencana’ baharu itu menimpa golongan tersebut menjelang ulang tahun ke-76 Hari Nakba (malapetaka) pada Selasa apabila ratusan ribu penduduk Palestin diusir dari kampung halaman mereka pada 1948 yang kemudiannya membawa kepada penubuhan negara haram Israel. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!