Kisah si kecil genius dari Malaysia...

Muhammad Haryz, 3, memiliki tahap IQ,142 dan menjadi ahli termuda dalam persatuan IQ tinggi global iaitu Mensa.
Muhammad Haryz, 3, memiliki tahap IQ,142 dan menjadi ahli termuda dalam persatuan IQ tinggi global iaitu Mensa.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang kanak-kanak dari Malaysia, Muhammad Haryz Nadzim Mohd Hilmy Naim memiliki tahap kecergasan minda (IQ) 142 dalam ujian Stanford Binet menjadi ahli termuda dalam persatuan IQ tinggi global iaitu Mensa.

Ibu kanak-kanak genius itu memberitahu Sinar Harian, Muhammad Haryz yang berusia 4 tahun ditawarkan keahlian pada 14 Januari lalu.

Nur Anira (kanan) bersama suaminya, Mohd Hilmy dan anak tunggalnya, Muhammad Haryz.
Nur Anira (kanan) bersama suaminya, Mohd Hilmy dan anak tunggalnya, Muhammad Haryz.

Nur Anira Asyikin Hashim, 30, berkata, dia dan suaminya mula mengesan kelebihan Muhammad Haryz ketika anak tunggal mereka boleh membaca buku seawal 2 tahun.

“Buku kegemarannya adalah Zog, The Gruffalo, The Gruffalo Child, kebanyakannya daripada koleksi penulis Julia Donaldson," katanya.

Menurutnya, Muhammad Haryz yang dilahirkan di United Kingdom (UK) sangat gemar membaca buku dan tidak akan tidur sebelum menghabiskan sekurang-kurangnya dua buah buku.

"Kami lega kerana dia sudah pandai membaca sendiri keseluruhan buku itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Haryz minat terhadap buku dan nombor.
Muhammad Haryz minat terhadap buku dan nombor.

Jelas Nur Anira Asyikin, menjadi rutin harian mereka membacakan buku cerita sebelum tidur sejak Muhammad Haryz masih bayi dan kini anaknya itu menunjukkan minatnya terhadap buku.

“Dia seringkali menyuruh kami membacakan buku ceritanya hingga berjam. Dia akan menangis jika kami menolak permintaannya.

“Setiap kali kami membacakan cerita, dia akan cuba mengingati keseluruhan cerita tersebut dan menceritakan semula kepada kami. Kami terpegun dengan kebolehannya,” katanya.

Nur Anira Asyikin, anak jati Johor bersama suaminya, Mohd Hilmy Naim Mohd Yakin, 31, yang berasal dari Terengganu mula menetap di UK sejak 2015.

Mereka sebelum ini berkhidmat bersama sebagai jurutera di sebuah syarikat kejuruteraan dan melanjutkan pengajian Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang kejuruteraan.

Bercerita lanjut mengenai kebolehan luar biasa anaknya, Nur Anira Asyikin memberitahu, guru sekolahnya mendedahkan kepintaran Muhammad Haryz sebelum membawanya bertemu pakar untuk mengetahui tahap IQ.

“Kami dimaklumkan gurunya bahawa dia lebih cerdas berbanding kanak-kanak lain dan mereka bercadang menempatkan Muhammad Haryz di kelas yang lebih berumur ketika sesi pembelajaran bahasa Inggeris.

“Dari situ kami rasa dia berkebolehan dan kami menghantar e-mel kepada seorang psikologi kanak-kanak pintar di Britain iaitu Lyn Kendall untuk dinilai.

Muhammad Haryz bersama datuknya, Prof Dr Hashim Saim.
Muhammad Haryz bersama datuknya, Prof Dr Hashim Saim.

“Setelah dinilai, Lynn memberikan skor 142 dalam ujian Stanford Binet dan memberikan kami borang untuk menyertai Mensa.

“Kami bersetuju kerana dengan keahlian Mensa. Ini kerana kami akan dapat bertukar fikiran, saling berinteraksi dengan ibu bapa kepada kanak-kanak Mensa yang lain,” katanya.

Bagaimanapun Nur Anira Asyikin tidak mempunyai sebarang perancangan terkini untuk anaknya tetapi akan melihat perkembangan dari semasa ke semasa.

“Kami ingin dia tetap bergaul dengan kanak-kanak seusia dengannya, namun di rumah kami akan cuba mengajar dia topik yang lebih menarik minatnya kerana bimbang dia bosan.

“Dia juga kerap mengatakan dia bosan jika membuat soalan yang sama setiap kali. Ini adalah cabaran buat kami,” katanya.

Beliau turut menolak pandangan sesetengah pihak yang berpendapat kehidupan kanak-kanak akan terganggu jika menyertai Mensa, sebaliknya ia mampu membuktikan kebolehan dan potensi anaknya itu.

“Kami merasakan tidak mengganggu kehidupan Haryz kerana dia gembira bertemu dengan rakan-rakan dan dia mudah selesa. Kami merasakan Mensa dapat membantunya mengembangkan lagi potensi dirinya.

“Selain itu memberikan keyakinan dalam dirinya yang dia mampu mengecapi apa yang dihajati dengan minat dan izin dari ALLAH SWT,” jelasnya.

Muhammad Haryz mengemari koleksi buku hasil penulisan Julia Donaldson.
Muhammad Haryz mengemari koleksi buku hasil penulisan Julia Donaldson.

Dalam pada masa sama, Nur Anira Asyikin dan suami menitikberatkan keutamaan dan keinginan Muhammad Haryz untuk gembira dalam menjalani kehidupannya.

“Kami tidak mahu memaksa dia melakukan apa yang dia tidak gemar dan pada masa sama kami tidak mahu dia bosan dengan pembelajaran dia sekolah.

“Kami juga berharap minatnya terhadap buku dan nombor berkekalan,” katanya akan pulang ke Malaysia hujung bulan ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!