Adab syarat penting tuntut ilmu daripada guru
BAYANGKAN Al-Imam Az-Zarnuji yang terkenal sebagai tokoh pendidikan Islam dan pengarang kitab terkemuka, Ta’limul Muta’allim mempelajari adab selama 20 tahun, barulah diikuti dengan ilmu selama 10 tahun.
Lihat betapa signifikannya nilai adab yang menjadi syarat penting apabila seseorang menggali ilmu daripada gurunya.
Demikian komentar pendakwah, Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad.
“Seorang yang beradab itu pastinya mempunyai ilmu, tetapi orang yang ada pengetahuan pula belum tentu ada adab.
“Antara keadaan seseorang yang mempunyai adab mulia adalah bersangka baik terhadap gurunya.
“Dengan sangkaan baik terhadap tujuan pendidikan, teguran dan nasihat daripada guru, ia akan memastikan pelajar berkenaan sentiasa ikhlas dalam apa jua yang disempurnakannya,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Da’i Fuad kemudian menceritakan adab Nabi Musa AS ketika berguru dengan Nabi Khidir AS sebagaimana dirakamkan dalam Surah al-Kahfi, ayat 60 hingga 82.
Nabi Khidir menyuruh Nabi Musa untuk mengikutinya tanpa banyak soal dan menunggu sehingga baginda memberikan jawapan, ungkapnya.
“Antara adab pelajar terhadap seorang gurunya adalah penting untuk mereka menunggu sehingga dihuraikan (penjelasan) oleh gurunya dan tidak bertanya soalan sebelum diizinkan.
“Dalam ayat al-Quran itu, disebutkan Nabi Khidir merosakkan sampan, walhal Nabi Musa tidak tahu mengapa baginda berbuat demikian. Tujuan sebenarnya adalah agar sampan tersebut tidak diambil oleh raja zalim yang akan merampas setiap perahu milik orang miskin yang bekerja di laut.
“Cerita ini sebenarnya membawa mesej, perbezaan antara murid dan gurunya yang mana anak murid bersikap sabar dan percaya terhadap guru serta tidak menganggap mereka jahil sebelum mengetahui keseluruhan manfaat bakal diperoleh,” ujarnya.
Keberkatan ilmu
Kepada para penuntut ilmu, Da’i Fuad mengingatkan mereka agar belajar untuk membawa dirinya kepada ALLAH SWT, di samping 'menanggalkan' kejahilan.
“Elemen itu penting bagi meraih keberkatan ilmu, selain memperbaiki niat dan mengaplikasikan apa yang dipelajari,“ ungkapnya.
Meskipun keberkatan ilmu daripada guru itu penting, tetapi masih terdapat individu pandai dan berjaya walaupun tidak menghormati cikgunya.
Mengulas perkara itu, ujar penceramah tersebut, ia sebenarnya menunjukkan kegagalan sesuatu tamadun dan pendidikan kerana menurut Ibnu Khaldun, pendidikan seharusnya mendidik untuk menjadi beradab.
Suatu perkara perlu diketahui, pendidikan itu bukan semata-mata bab pelajaran, katanya.
“Jika pelajaran itu menjadi tujuan utama, maka kita cukup sekadar diajar tanpa dididik. Mengertilah, didikan berbentuk tarbiah dan amalan itulah yang dapat diaplikasikan.
“Sebab itulah jika mereka hanya berjaya dalam pembelajaran, itu bermakna mereka cerdik pada akal, tetapi tidak faham hikmah daripada ilmu yang dipelajari.
“Ditakuti orang yang tidak hormat guru, namun berjaya itu sebenarnya mendapat istidraj iaitu dikurniakan rezeki untuk lebih menyesatkan mereka lagi hingga merasakan kejayaan tersebut diraih kerana usaha sendiri, bukan kurniaan ILAHI,” katanya.
Empat martabat guru
Menyambung hujahnya, Da’i Fuad menjelaskan, kedudukan guru dalam Islam dipandang sangat mulia sekali gus membuktikan mereka merupakan insan penting dalam memberikan kefahaman Islam.
Ia sehinggakan ALLAH SWT menghantar guru kepada Nabi Muhammad SAW iaitu malaikat Jibril AS, ujarnya.
“Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Jibril menjadi insan penting yang mendengar setiap persoalan Nabi Muhammad SAW dan dalam banyak peperangan, beliau jugalah makhluk paling faham keperluan baginda.
“Lantaran itu, ALLAH SWT memuliakan Nabi Muhammad SAW berkat ilmu yang diturunkan dan pelajaran yang diajarkan oleh malaikat Jibril AS,” katanya.
Di samping itu, penceramah tersebut menjelaskan bahawa terdapat empat martabat guru.
“Ia termasuklah mudarris iaitu individu yang hanya mengajar mata pelajaran dan muallim yakni guru mengajar mata pelajaran serta menyampaikan ilmu-ilmu kehidupan yang lain.
“Ketiga ialah murshid iaitu guru yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan lurus, manakala terakhir ialah murabbi, guru yang memelihara, mentarbiah dan mendidik batin rohani pelajarnya serta membangunkan intelektual anak muridnya,” katanya.
ANEKDOT
Hak-hak guru yang perlu dipenuhi anak murid
- Pelajar tiba awal daripada guru.
- Menyantuni guru dan memberikan khidmat, budi dan tenaga kepada mereka. - Memberi sagu hati kepada gurunya sama ada berbentuk wang, makanan, hadiah dan seumpamanya kerana menganggap tinggi guru.
- Tidak membezakan seorang guru dengan guru yang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!