Lima lelaki dituduh promosi perjudian dalam talian di kondominium
GEORGE TOWN - Lima lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mempromosikan perjudian dalam talian menggunakan aplikasi di sebuah kondominium.
Ng Cheng Boon, 30; Ooi Kah Chun, 20; Ryan Lim Wei En, 30; Lim Wei Hong,19 dan Kevin Lee Kai Wen, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama didakwa mempromosikan permainan perjudian dalam talian dengan cara menggunakan aplikasi WhatsApp dan teks Telegram.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Jalan Batu Uban pada jam 11.30 malam, 14 Mei lalu.
Oleh demikian, mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil dan kesemua tertuduh diwakili peguam K Mahendren.
Syairah menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh.
Mahendren kemudiannya memohon wang jaminan dikurangkan kerana sebahagian anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
"Saya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana ada daripada tertuduh perlu menanggung keluarga mereka. Cheng Boon sudah berkahwin, menanggung bapanya dan bekerja sebagai jurujual dengan gaji bulanan RM1,800.
"Kah Chun belum berkahwin namun hanya bekerja sebagai penghantar makanan dengan gaji RM1,500 sebulan," katanya.
Tambahnya, tertuduh ketiga (Wei En) yang bekerja sebagai tukang masak sudah berkahwin namun perlu menanggung ibunya selain mempunyai anak berusia tujuh bulan.
"Tertuduh keempat iaitu Wei Hong yang juga bekerja sebagai penghantar makanan dengan gaji RM1,500 sebulan perlu menanggung bapanya.
"Tertuduh terakhir yang bekerja sebagai ejen pula perlu menanggung ibunya yang mengidap sakit jantung dengan pendapatan bulanan RM1,800," katanya.
Mahendren berkata, kesemua anak guamnya berjanji akan mematuhi kesemua arahan yang dikeluarkan mahkamah sepanjang prosiding kes.
Mohamad Azlan menetapkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Kes ditangguh sehingga 24 Jun untuk serahan dokumen dan sebutan semula.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!