Penternak resah permintaan lembu korban menurun
SETIU - Beberapa penternak lembu dekat sini mendakwa jualan lembu tempatan untuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini kurang mendapat sambutan.
Seorang penternak, Mohd Hasrul Helmi Ariffin, 36 berkata, penurunan permintaan yang mendadak sehingga mencecah 70 peratus menimbulkan keresahan dalam kalangan mereka.
Menurutnya, permintaan terhadap lembu tempatan merosot sejak Ramadan lalu dan berlarutan sehingga kini.
"Orang ramai lebih memilih untuk dapatkan lembu dari negara jiran kerana harga yang ditawarkan lebih murah berbanding lembu tempatan.
"Sebab itulah permintaan terhadap lembu-lembu korban tahun oleh penternak tempatan turun mendadak sehingga 70 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini," katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Merbau, di sini, baru-baru ini.
Jelas beliau, jualan lembu korban pada tahun ini merosot berbanding tahun sebelumnya kerana kebiasaan tempahan telah ditutup sebulan sebelum musim perayaan.
"Kalau lihat pada tahun-tahun sebelum ni kita dapat juga jual 30 hingga 40 ekor lembu untuk ibadah korban dan biasanya tempahan akan ditutup sebulan sebelum Hari Raya Aidiladha.
"Dah banyak cara untuk promosi haiwan ternakan ini termasuk iklan di media sosial namun sambutan masih juga kurang. Tahun ni dalam 10 ekor lembu sahaja yang laku walaupun dah nak dekat dengan raya," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penternak, Abdul Basir Mamat, 32, berkata, kebanyakan pelanggan lebih cenderung mendapatkan lembu dengan harga bajet iaitu di bawah RM4,000 seekor.
"Mungkin disebabkan faktor ekonomi, lembu berharga RM5,000 hingga RM8,000 ke atas tidak mendapat permintaan.
"Jadi, sebagai pengusaha kita terpaksa menanggung kos makanan lembu tersebut walaupun ia tidak berjaya dijual. Keadaan itu menjadi tekanan buat kami sebagai penternak dan pengusaha lembu," ujarnya.
Selain itu, kemasukan lembu seludup ke negara ini juga dikhuatiri akan memberi kesan terhadap lembu tempatan terutama melibatkan penularan penyakit.
"Kita bimbang jika ia tidak dapat dikawal, lembu-lembu kita akan berisiko untuk dijangkiti pelbagai penyakit yang dibawa oleh lembu-lembu dari luar ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!