PAC 2024: Langkah kanan perkasa agropelancongan Perak

Pemandangan menghijaukan yang dapat dilihat dari Kuak Hill Resort. Gambar kecil: Yahanis
Pemandangan menghijaukan yang dapat dilihat dari Kuak Hill Resort. Gambar kecil: Yahanis
A
A
A

IPOH - Agropelancongan yang menumpu kepada aktiviti pertanian, penternakan dan perikanan semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara.

Konsep aktivitinya yang melakukan pelbagai kegiatan bersama pengusaha memberi kepuasan dan pengalaman berbeza kepada pelancong.

Menariknya apabila pengunjung juga dapat mempelajari proses menyelenggara, menternak dan melihat sendiri proses penghasilan sesuatu produk makanan atau minuman sebelum dipasarkan.

Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan limpahan khazanah warisan dan keunikan, Perak memulakan langkah kanan memperkasa sektor agropelancongan menerusi penganjuran Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024).

Lawatan sehari turut membawa media ke Galeri Lenggong Geopark. Gambar kanan: Keunikan barangan antik dan tradisional yang boleh dilihat di Galeri Aki Aji.
Lawatan sehari turut membawa media ke Galeri Lenggong Geopark. Gambar kanan: Keunikan barangan antik dan tradisional yang boleh dilihat di Galeri Aki Aji.

Karnival yang julung kali diadakan itu menjadikan Lenggong sebagai tuan rumah, berlangsung di dataran Resort Tasik Raban selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Datuk Yahanis Yahya berkata, lebih 100 usahawan dan operator agropelancongan mengambil bahagian dalam karnival itu dengan himpunkan lebih 50 pakej terbaik.

Menurutnya, pengunjung yang hadir juga berpeluang menikmati pakej produk agropelancongan yang menawarkan potongan harga sehingga 70 peratus antaranya Sunflower Garden, Kuak Hill Resort, Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Ladang Rusa Sadang, Kampung Beng Mini Amazon dan Royal Belum Resort.

Artikel Berkaitan:

Zulfadzli menunjukkan poster penganjuran PAC 2024 yang berlangsung di dataran Resort Tasik Raban selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Zulfadzli menunjukkan poster penganjuran PAC 2024 yang berlangsung di dataran Resort Tasik Raban selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad ini.

"Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan sepanjang tiga hari ini karnival seperti menaiki belon panas, beriadah dengan pelbagai aktiviti sukan lasak dan rekreasi seperti sukan air (kayak, stand-up paddling), flying fox, aktiviti perkhemahan karavan.

"Pengunjung juga boleh membeli-belah harga rahmah di agro bazar (pasar in the garden), pesta makanan, mengikuti ceramah perdana, menyaksikan perlumbaan perahu naga, berhibur bersama artis-artis popular tanah air dan persembahan kebudayaan," katanya.

Beliau berkata, keunikan dan keistimewaan lokasi-lokasi menarik yang dihimpunkan buat julung kalinya dalam PAC 2024 itu antara lain sebagai menyokong Tahun Melawat Perak 2024.

Katanya, penganjurannya juga mendapat kerjasama daripada Tourism Perak, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Majlis Daerah Lenggong dan Majlis Pelancongan Lenggong.

"Perak SADC komited membantu kerajaan negeri untuk mencapai sasaran kemasukan 8 juta pelancong sempena Tahun Melawat Perak bagi mengaktifkan semula aktiviti pelancongan domestik sebagai destinasi utama yang kompetitif khususnya dalam segmen agropelancongan.

"Menerusi PAC 2024 ini, kita menyasarkan kehadiran pengunjung dari negara-negara luar termasuk dari

Singapura, Indonesia dan Thailand yang menjadi antara negara-negara yang menyumbang kepada angka pelancong antarabangsa tertinggi ke Malaysia," katanya.

Ladang Rusa Sadang yang memberi pengalaman kepada pengunjung memberi makanan kepada haiwan di situ.
Ladang Rusa Sadang yang memberi pengalaman kepada pengunjung memberi makanan kepada haiwan di situ.

Sementara itu, petugas media daripada pelbagai agensi telah dibawa menyelusuri tempat-tempat menarik di sekitar Lenggong antaranya Galeri Lenggong Geopark, Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, Galeri Aki Aji, Kuak Hill Resort serta Ladang Rusa Sadang.

Dalam lawatan sehari bersama Pengurus besar Strategik dan Pembangunan Kerajaan Perak SADC, Zulfadzli Muhd Irpan itu, petugas media juga disajikan pemandangan indah Tasik Raban yang menerima jolokan 'Mini Amazon' dengan menaiki bot serta menjamah hidangan istimewa air tangan penduduk Lenggong iaitu nasi lemak goreng di Warung Sedat dan makan tengah hari nasi talam di Warung Mak Tam.

Lenggong yang terletak kira-kira 75 kilometer dari bandar Ipoh telah menerima pengisytiharannya sebagai Tapak Warisan Dunia pada 30 Jun 2012 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)

Ini disusuli penarafan sebagai Geopark Kebangsaan pada 16 Disember 2021 yang mengukuhkan lagi kedudukan kawasan menyimpan pelbagai sejarah formasi geologi bertaraf antarabangsa.

Selain penemuan tulang rangka Orang Perak atau Perak Man berusia antara 10,000 hingga 11,000 tahun di dalam Gua Gunung Runtuh, Lenggong turut menyimpan dua bukti kejadian penting iaitu longgokan debu larva gunung berapi Toba yang meletus 75,000 tahun lalu di Bukit Sapi serta penemuan batu suevit di Bukit Bunuh akibat hentaman meteorit yang berlaku kira-kira 1.83 juta tahun lampau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!