Sebabkan kematian bayi baharu lahir, lelaki dipenjara lapan tahun
MELAKA - [DIKEMAS KINI] Lelaki yang dituduh menyebabkan kematian seorang bayi lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas pertuduhan pilihan di Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat.
Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ahmad Shamil Ashraf Zainudin, 22, selepas menerima pengakuan bersalah setelah pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pilihan di bawah Seksyen Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, tertuduh didapati melakukan satu homosid mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh ke atas seorang bayi lelaki baharu dilahirkan seorang wanita berusia 19 tahun ketika waktu kejadian.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan semak tepi jalan berhampiran sebuah pusat asuhan di sini, antara jam 12.01 pagi hingga 10.30 malam pada 29 Mac 2021.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd Rosli memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan alasan perbuatan tertuduh meletakkan bayi berkenaan di kawasan semak bertujuan mengelak ia dikesan orang ramai.
Tertuduh diwakili peguam, M Vinodharan memohon hukuman penjara rendah dikenakan terhadap tertuduh yang telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.
Menurutnya, tertuduh yang tidak mempunyai sebarang rekod lampau melakukan perbuatan tersebut kerana panik memandangkan dia dan teman wanitanya tidak mempunyai sebarang hubungan yang sah lebih-lebih lagi pada usia yang masih muda iaitu 19 tahun.
Berdasarkan fakta kes, pengadu merupakan pegawai perubatan di Hospital Melaka telah menerima kes kecemasan mengenai teman wanita tertuduh yang mengalami pendarahan di kemaluan kerana bersalin.
Ketika ditanya mengenai keberadaan bayinya, wanita tersebut memaklumkan bayi berkenaan hidup sewaktu dilahirkan kerana terdengar suara tangisan namun tidak mengetahui kerana telah dibuang oleh teman lelakinya di kawasan semak samun di Telok Mas.
Hasil bedah siasat mendapati, bayi berkenaan yang diambil semula tertuduh selepas itu telah mencapai umur matang 41.6 minggu tidak mempunyai kecederaan akibat luka tajam atau akibat benda tumpul atau kecederaan lain.
Doktor pakar juga berpendapat, tindakan ibu bapa bayi berkenaan yang membuangnya di kawasan tidak sepatutnya menyebabkan kebarangkalian paru-paru bayi lelaki itu merosot dan membawa kepada kematian akibat 'congenital pneumonia.'
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!