Rugi hampir RM620,000, dua kali kena tipu sindiket pelaburan
KUALA LUMPUR - Hasrat seorang pesara untuk mendapatkan kembali wang dilaburkannya pada Februari lalu lebur apabila sekali lagi dipedaya sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian hampir RM620,000.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya pada 12 Mei lalu.
"Mangsa yang merupakan seorang wanita berumur 56 tahun itu menerima emel daripada sebuah syarikat yang menawarkan untuk mendapatkan semula wang dilaburkannya pada 2020.
"Mangsa dipercayai menyertai pelaburan berkenaan namun gagal mengeluarkan wang pelaburan tersebut dan mengalami kerugian sebanyak AS$4,000," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada Jumaat.
Katanya, mangsa setuju dengan tawaran diberikan sebelum diminta membuat bayaran.
"Mangsa kemudiannya melakukan beberapa kali transaksi bagi memulakan proses mendapatkan semula wang berkenaan.
"Dalam masa sama, mangsa turut berminat dengan skim pelaburan kripto oleh kumpulan sama yang menjanjikan nilai keuntungan sebanyak 35 hingga 50 peratus sebulan berdasarkan jumlah pelaburan dibuat," katanya.
Menurutnya, mangsa melakukan 28 transaksi ke tujuh akaun bank yang berbeza dengan nilai keseluruhan RM619,390.80.
"Bagaimanapun sehingga kini, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan atau mendapat semula wang pelaburan yang dijanjikan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!