Putrajaya perlu tangani ketirisan RM5 bilion akibat rokok haram
KERAJAAN Madani berusaha bersungguh-sungguh untuk mempunyai tadbir urus yang lebih baik dan paling penting, menutup ketirisan hasil negara.
Dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu sekarang, langkah tersebut amat diharapkan oleh rakyat dan memerlukan keberanian serta kebijaksanaan Putrajaya untuk melaksanakannya.
Namun, satu perkara yang jadi tanda-tanya ialah isu negara kehilangan hasil cukai akibat perdagangan rokok haram yang dianggarkan sebanyak RM5 bilion setahun masih tidak ditangani sewajarnya.
Isu yang sudah berusia lebih daripada satu dekad ini sebenarnya telah cuba ditangani oleh pentadbiran-pentadbiran Putrajaya sebelum ini.
Memang betul, kaedah-kaedah penguatkuasaan sudah disediakan termasuk usaha Kastam Diraja Malaysia mempertingkatkan penguatkuasaan di pelabuhan kemasukan dan larangan pemindahan kapal yang meluas patut diberi pujian.
Penyelarasan pelbagai agensi terdiri daripada Kastam diraja Malaysia, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, dan sebagainya diharap dapat melaksanakan amanah mereka bagi mengekang ketirisan hasil negara.
Bagaimanapun, kajian terbaharu oleh Nielsen pada tahun 2023 menggambarkan rupa sebenar bahawa insiden perdagangan rokok haram masih kekal tinggi pada 55 peratus di Malaysia.
Di samping perdagangan rokok haram yang berleluasa di pasaran, cabaran bagi mengekang insiden setem cukai palsu juga sukar ditangani.
Menurut Kajian Rokok Haram (ICS) untuk tahun penuh 2023, perihal penggunaan setem cukai palsu ke atas rokok dalam negara melonjak 8.7 peratus, berbanding 7.9 peratus pada tahun sebelumnya.
Amat membimbangkan juga ialah hasil data daripada kajian ICS turut mendapati pertumbuhan sebanyak tiga kali ganda dalam aliran meningkat sejak 2016.
Oleh yang demikian, kerajaan diseru untuk mengkaji semula keperluan dan keberkesanan setem cukai berasaskan kertas semasa dan mempertimbangkan alternatif seperti kod cukai digital.
Dalam konteks ini kerajaan boleh mencontohi perlaksanaan kod cukai digital yang efisien seperti di negara Jordan, United Kingdom dan Eropah.
Langkah ini boleh membendung permasalahan setem cukai palsu seterusnya menutup punca ketirisan hasil perolehan negara.
Ini selaras dengan usaha kerajaan ke arah pendigitalan. Walaupun penubuhan sistem itu sendiri mungkin mahal, ia akan menjimatkan kos dalam jangka panjang sambil menangani isu setem palsu.
Dalam menangani penyeludupan rokok haram secara terancang, kerajaan harus mempertimbangkan meluaskan penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Amla) dan Poca untuk melindungi kesalahan penyeludupan, pengelakan cukai dan penipuan, manakala mengekalkan kawalan pemindahan kapal.
Selain itu, kenaikan cukai tahunan yang boleh diramal dan sederhana untuk menghapuskan kejutan harga yang mendorong pengguna menurunkan dagangan kepada rokok seludup.
Kenaikan cukai yang sederhana tetapi konsisten (mengakibatkan) kenaikan beberapa sen (harga rokok) adalah lebih baik kerana pengguna pada umumnya menjangkakan langkah sedemikian, manakala yang besar akan mendorong pengguna beralih kepada rokok haram, dan kini produk vape yang lebih murah.
Beberapa barangan seludup menggunakan setem cukai yang serupa dengan rokok sah dan menjualnya pada harga lebih tinggi daripada rokok haram lain, menyukarkan pengguna untuk membezakannya.
Pengguna akan dapat mengesahkannya dengan mengimbas setem menggunakan aplikasi mudah alih `Setem Cukai' Jabatan Kastam.
Sementara itu, kelaziman rokok haram di Malaysia kekal tinggi pada 55.6 peratus tahun lepas, menurut ICS.
Kajian itu, yang dijalankan oleh syarikat penyelidikan Nielsen, bagaimanapun mendedahkan penurunan ketara dalam kejadian rokok putih terlarang sebanyak 1.9 mata peratusan (pp) daripada 41.4 peratus pada 2022 kepada 39.5 peratus tahun lepas, disebabkan kerjasama yang lebih baik dengan polis dan Jabatan Kastam.
Terbaharu, kumpulan pemikir global, We Are Innovation, telah mengeluarkan laporan 2024 Effective Anti-Smoking Policies Global Index yang sangat komprehensif.
Laporan itu menyatakan bahawa tiga negara maju yang mempunyai polisi anti-rokok paling efektif ialah United Kingdom, Sweden dan Slovakia, di mana strategi pengurangan kemudaratan diterima dan dilaksanakan.
Laporan itu mendapati bahawa negara-negara yang berjaya dalam mengurangkan kelaziman merokok telah menyepadukan pendekatan pengurangan kemudaratan tembakau untuk membolehkan perokok mempunyai akses kepada alternatif dan produk nikotin yang kurang memudaratkan di samping langkah-langkah tradisional lain, manakala negara-negara di ranking lebih rendah cenderung mengamalkan pendirian yang lebih ketat, menumpukan perhatian penuh pada larangan.
Malaysia berada di kedudukan ke-49 dalam senarai itu dan ini menunjukkan masih ada ruang untuk penambahbaikan untuk negara.
Jika Malaysia mahu mencapai aspirasi bebas asap rokok, adalah penting untuk melihat ke dalam menerima pendekatan pengurangan kemudaratan yang telah terbukti berjaya di negara lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!