[VIDEO] PDRM tingkat keselamatan di balai polis

A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan tahap keselamatan di balai polis berikutan serangan dipercayai dilakukan anggota Jemaah Islamiyah (JI) di Balai Polis Ulu Tiram di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini termasuk menambah aspek pencahayaan di beberapa balai polis yang dikenal pasti.

"Tahap keselamatan juga akan ditingkatkan di istana dan juga kediaman Menteri Besar. Kita akan maklumkan kepada Menteri Besar dan istana, itu sangat mustahak dan tanggungjawab kami.

"Di balai kita tingkatkan peronda dan anggota dilebihkan, mana yang kurang pencahayaan, kita akan cuba dapatkan (peruntukan untuk pencahayaan).

"Kalau boleh tangkap 20 anggota JI (yang masih bebas) ini adalah 'intervention' sekatan," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Balai Polis Ulu Tiram di sini pada Jumaat.

Razarudin meninjau lokasi kejadian dua anggota polis maut ditetak dan ditembak dalam kejadian di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Jumaat.
Razarudin meninjau lokasi kejadian dua anggota polis maut ditetak dan ditembak dalam kejadian di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, dua anggota di Balai Polis Ulu Tiram maut manakala seorang lagi parah selepas ditetak dan tembak suspek disyaki anggota JI.

Suspek yang tinggal di Ulu Tiram berusia 21 tahun itu datang ke balai berkenaan dengan motosikal dan membawa parang serta berada di belakang balai berkenaan yang gelap.

Artikel Berkaitan:

Lelaki itu kemudian menetak anggota polis yang datang ke belakang balai sebelum mengambil pistol anggota terbabit dan menembak seorang lagi anggota polis.

Kedua-dua anggota polis berkenaan maut di tempat kejadian dan suspek kemudian menembak seorang lagi anggota polis di bahu kiri serta pinggul sebelum suspek ditembak mati di tempat kejadian.

Susulan itu polis menahan tujuh individu termasuk bapa suspek dan empat ahli keluarganya kerana merupakan anggota JI, selain mengenal pasti 20 lagi ahli JI di Ulu Tiram.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, kedua-dua anggota polis yang maut tersebut masih bujang dan baru bertugas pada 2021 dan 2022.

Katanya, kedua-dua jenazah anggota polis berkenaan akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Bidor, Perak dan Gambang, Pahang selepas bedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini selesai.

"Anggota polis yang cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul masih dirawat di HSI," ujar beliau.

Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!