Penunggang motosikal maut langgar babi hutan
KUALA PILAH - Seorang penyelia syarikat penghantaran maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar beberapa ekor babi hutan yang bergelimpangan mati di tengah jalan dalam kejadian di Kilometer 15 Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ulu Bendul di sini awal pagi Jumaat.
Kemalangan kira-kira jam 6.35 pagi itu ketika mangsa, Afmarzairy Bakhtiar Apandi, 42, yang menunggang motosikal jenis Honda ADV 160 dalam perjalanan ke tempat kerja di Bahau dari Senawang.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Asisten Superintenden Norazuan Said berkata, siasatan awal mendapati mangsa terlanggar beberapa ekor babi yang telah mati di tengah jalan akibat dilanggar oleh kenderaan lain terlebih dahulu sebelum hilang kawalan dan terbabas.
"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayatnya telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Sementara itu, sepupu Allahyarham, Azru Zarizie A Zaharin,42 berkata, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang peramah dan baik.
"Arwah meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak lelaki berusia lapan hingga 15 tahun.
"Arwah sudah lama bekerja di Bahau dan saya dimaklumkan oleh ibu saudara yang arwah berhasrat untuk menggantikan atap rumah pusaka di kampung dekat Rembau, malah arwah sempat menyerahkan wang deposit untuk tujuan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik HTAN pada Jumaat.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mampong,Rembau pada petang ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!