Belia perlu tegas tolak rasuah

YDP Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Bagan Datuk, Hisan Abdul Halim menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Al-Aula, Hutan Melintang, Bagan Datuk pada Jumaat.
YDP Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Bagan Datuk, Hisan Abdul Halim menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Al-Aula, Hutan Melintang, Bagan Datuk pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Tegas dan berani menolak rasuah merupakan sebahagian tanggungjawab golongan belia masa kini kepada negara.

Perkara itu ditegaskan dalam teks Khutbah Jumaat khas bertajuk Belia: Tenaga Penggerak Pembawa Pembaharuan bersempena Sambutan Hari Belia Negara yang disambut pada 15 Mei.

Menerusi teks khutbah berkenaan, golongan belia perlu memenuhi ciri-ciri dan tanggungjawab kepada negara bangsa iaitu berpegang teguh kepada Rukun Iman iaitu percaya dan yakin akan hari pembalasan agar tersemai iman yang teguh untuk membantu membina kekuatan jati diri.

Golongan belia juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu secara berterusan tanpa jemu selain mempamerkan sifat-sifat insan bertakwa dengan mengamalkan akhlak terpuji dan menjauhi sifat buruk.

"(Golongan belia) perlu bersifat jujur, berintegriti dan amanah. Berani, lantang serta tegas menolak rasuah, tidak bersubahat dengan para perasuah dan menolak pemimpin yang tercemar dengan rasuah serta dipupuk sikap kesungguhan dalam setiap tindakan sebagai persiapan menjadi pemimpin masa hadapan.

"Mereka juga perlu menjadi warga yang memiliki semangat kesetiaan yang kukuh kepada raja dan negara, bersedia berkorban dan berkhidmat untuk mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara," jelas teks khutbah yang dibacakan di seluruh masjid dan surau diri Jumaat di Perak pada hari ini.

Dalam teks khutbah itu turut mendedahkan bahawa terdapat seramai 9.6 juta orang belia di negara ini iaitu 29 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia yang bakal mewarisi kepimpinan negara.

Jelasnya, kemajuan dan kemakmuran negara pada masa hadapan akan ditentukan oleh generasi belia ketika ini setelah mereka mengambil alih tanggungjawab kepimpinan negara.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan itu, amat penting untuk mereka dididik, dibimbing, diasuh dan dilengkapi dengan pegangan serta kepercayaan kepada tuhan yang teguh agar mereka memiliki iman dan takwa yang kukuh.

"Dalam hasrat mahu menyediakan angkatan belia yang dapat mewarisi dan memenuhi peranan kepimpinan secara bermakna, bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh para belia

harus diperkasa, agar mereka terdiri daripada barisan belia yang berilmu, berpengetahuan dan berkemahiran serta berupaya menapis dan mengimbangi modenisasi atau kemajuan tanpa mengorbankan nilai-nilai murni bangsa.

"Negara dan kepimpinan yang berwawasan jauh, sewajarnya memberikan bimbingan, teladan juga panduan dengan menyediakan belia untuk masa hadapan negara," katanya.

Sehubungan itu, kepimpinan negara perlu memahami keperluan, hasrat dan harapan para belia yang pastinya mahu diwariskan sebuah negara yang aman dan sejahtera.

Kerajaan juga perlu menyediakan kemudahan pendidikan dan latihan berkualiti yang berupaya mengangkat status belia Malaysia berdiri sama tinggi di pentas antarabangsa.

Pada Khamis, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan kepada 70 belia membacakan khutbah Jumaat di masjid semua daerah di negeri ini.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, perkenan itu bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara yang disambut pada Rabu.

Menurutnya, baginda turut menitahkan supaya khutbah Jumaat di negeri Perak pada 17 Mei adalah bertemakan 'Belia: Tenaga Penggerak Pembawa Pembaharuan'.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!