Inisiatif BNM bantu kurangkan tekanan ke atas ringgit
INISIATIF oleh Bank Negara Malaysia (BNM) telah membantu mengurangkan tekanan ke atas ringgit, menyebabkan mata wang tempatan turut meningkat pada asas kadar pertukaran efektif nominal (NEER) sebanyak 0.5 peratus.
Inisiatif terselaras oleh kerajaan dan BNM dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta libat urus dengan syarikat korporat dan pengeksport menghasilkan aliran yang lebih besar dan lebih konsisten ke dalam pasaran pertukaran asing.
"Bank pusat juga menggunakan instrumen yang sedia ada untuk memastikan pasaran kewangan domestik kekal teratur dan terus berfungsi dengan cekap,” katanya dalam satu kenyataan.
BNM berkata, sejak awal tahun sehingga 15 Mei 2024, nilai ringgit telah menyusut sebanyak 2.4 peratus berbanding dolar AS, sejajar dengan pergerakan mata wang serantau yang lain.
Purata harian jumlah dagangan pertukaran asing (FX) juga telah meningkat kepada US$17.6 bilion (AS$1=RM4.68) dalam tempoh 26 Februari hingga 15 Mei, 2024 (2 Januari - 23 Februari, 2024: US$15 bilion)
seiring dengan sebaran bida-tawar yang lebih kecil, menunjukkan penambahan mudah tunai dalam pasaran FX domestik.
Sementara itu, pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat kepada 5.2 peratus (S4 2023: 4.8 peratus), disokong oleh pertumbuhan lebih tinggi untuk pinjaman terkumpul bagi perniagaan (4.9 peratus; S4 2023: 3.7 peratus) dan isi rumah (6.2 peratus; S4 2023: 5.7 peratus), manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat pada kadar yang lebih sederhana (3.2 peratus; S4 2023: 4.2 peratus), kata BNM.
Bank pusat berkata, pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi didorong terutamanya oleh peningkatan lebih tinggi dalam pinjaman berkaitan pelaburan.
"Mengikut sektor, pertumbuhan yang lebih kukuh ini disokong oleh sektor pembinaan dan perkhidmatan.
"Pertumbuhan pinjaman terkumpul isi rumah pula lebih tinggi bagi kebanyakan tujuan pinjaman, mencerminkan permintaan terhadap pinjaman yang berterusan terutamanya bagi pembelian rumah dan kereta,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!