Jemaah Islamiyah ancaman utama keselamatan Asia Tenggara
JEMAAH Islamiyah (JI) adalah sebuah organisasi pelampau yang ditubuhkan pada awal 1990-an untuk membentuk 'negara Islam' meliputi selatan Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, dan selatan Filipina.
Organisasi yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda ini diasaskan pada 1993 oleh Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar, yang berasal dari Indonesia.
Anggota mereka difahamkan dilatih di Afghanistan dan selatan Filipina, dan mula melakukan serangan pada tahun 1999.
Kewujudan rangkaian ini dikesan pada akhir 2001 setelah pihak berkuasa Singapura menghalang sebuah sel yang merancang untuk menyerang sasaran berkaitan dengan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS).
JI terkenal kerana terlibat dalam beberapa serangan pengganas besar di rantau ini, termasuk pengeboman kelab malam Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 nyawa, kebanyakannya pelancong asing.
Mereka juga dikaitkan dengan beberapa serangan lain seperti pengeboman hotel JW Marriott di Jakarta pada 2003 yang membunuh 12 orang, pengeboman Kedutaan Australia pada 2004 yang membunuh 22 orang, dan beberapa serangan lain di Indonesia dan Filipina.
Sejak 2002, kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara telah berusaha dengan gigih untuk menangani ancaman JI melalui kerjasama keselamatan, penangkapan ahli-ahli mereka, dan usaha-usaha deradikalisasi.
Pihak berkuasa Thailand telah menahan ketua operasi JI pada 2003 manakala polis Indonesia membunuh pembuat bom utama JI pada 2005 selain menangkap dua pemimpin tertinggi pada 2007.
Pada 2008, pihak berkuasa Malaysia menangkap dua operatif kanan JI di Kuala Lumpur dan pada 2009 menangkap kembali Mas Selamat Kasteri, ketua JI Singapura yang melarikan diri.
Selepas 2009, JI dibayangi oleh kumpulan pecahan dan pengganas lain di Indonesia.
Beberapa bekas ahli JI dan pengganas yang selesai menjalani hukuman penjara bertindak meneruskan aktiviti mereka.
Umar Patek, pengganas Indonesia, ditangkap pada Januari 2011 dan didakwa pada Jun 2012 atas peranannya dalam pengeboman Bali 2002, dan dijatuhi hukuman 20 tahun penjara.
Pada November 2012, pasukan keselamatan Filipina membunuh pemimpin kanan JI, Sanusi.
Sementara pada September 2009, polis Indonesia membunuh Noordin Mat Top, salah seorang ahli pelampau Islam warganegara Malaysia yang pernah menjadi individu paling dikehendaki Indonesia dan pengganas paling dikehendaki Asia.
Walaupun organisasi ini telah dilemahkan dengan ketara, ia masih dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan serantau, menggunakan strategi yang lebih tersembunyi.
JI kini memberi fokus pada membina sokongan dan menyebarkan ideologi melalui penyusupan dalam sektor politik dan sosial di Indonesia. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!